Penyanyi, pelakon Alvin Chong kini bawah Universal Music

Penyanyi, pelakon Alvin Chong kini bawah Universal Music

Keputusan itu diambil bukan sekadar untuk memastikan kerjaya Alvin dalam bidang seni lebih kukuh, tetapi memastikan impak besar dan positif kepada karier seninya.

Alvin-Chong

Selepas melihat kelancaran perjalanan rentak seni penyanyi Fazura berada di bawah pengurusan Universal Music, kini langkah ini diikuti oleh pelakon dan penyanyi Alvin Chong pula mengambil giliran.

Pelakon yang terkenal melalui drama tempatan ini merupakan artis ke-2 bawah pengurusan Universal Music.

Alvin Chong yang sebelum ini tidak pernah mempertaruhkan karier seninya di bawah mana-mana pengurusan syarikat kini mengambil langkah berani apabila secara rasmi mengikat kontrak bersama syarikat rakaman gergasi Universal Music.

Kontrak yang ditandatangani bukan sahaja sebagai seorang penyanyi, malah Alvin turut memberi kepercayaan penuh kepada Universal Music untuk menguruskan segala urusan karier seninya termasuk kontrak sebagai duta dan hal-hal berkaitan.

Keputusan itu diambil bukan sekadar untuk memastikan kerjayanya dalam bidang seni lebih kukuh, tetapi Alvin mahu memastikan impak yang besar dan positif kepada karier seninya.

“Beberapa tahun lalu, saya uruskan sendiri perjalanan karier saya dan ia berjalan dengan baik. Sejujurnya, saya pernah mengingatkan diri sendiri tidak akan menandatangani mana-mana kontrak kerana mampu melakukannya sendiri. Namun sejak akhir-akhir ini, jadual saya semakin padat dan ia berlaku dengan cepat,” ujar Alvin.

Tambahnya lagi, dia mula sedar hanya mampu melakukan beberapa perkara sahaja dalam satu masa sehingga mengehadkan pergerakannya.

Bagi Alvin, Universal Music datang tepat pada waktunya apatah lagi apabila mereka menunjukkan potensi untuknya melangkah dengan lebih jauh pada masa hadapan.

“Saya berasa kagum dan tergerak hati melihat keikhlasan mereka. Saya percaya dengan bernaung bawah Universal Music, karier saya akan beranjak ke peringkat seterusnya. Lebih penting, kami berada dalam visi sama iaitu mahu melebarkan pasaran saya ke luar negara sekali gus mengharumkan nama Malaysia,” ujarnya.

Universal Music pula sudah pun merangka pelan perjalanan seni Alvin termasuk menyusun projek-projek Alvin di luar bidang nyanyian seiring dengan kepercayaan yang diberikan untuk memperkembangkan karier seninya.

“Alvin diuruskan oleh pasukan ‘New Business’ dan kami mengikat kontrak dengan bakat atau selebriti dan bukan hanya penyanyi. Kami akan merancang promosi serta pelan pengaktifan berserta jenama untuk memastikan perkembangan karier selebriti yang berada bawah Universal Music,” ujar Pengarah Urusan Universal Music Malaysia Singapura, Kenny Ong.

“Tinggi harapan kami, agar kerjasama yang dijalinkan ini akan memancarkan lagi bakat Alvin dalam dunia hiburan,” ujar Kenny.

Sementara itu, Pengarah New Business Universal Music Malaysia, Kim Lim berkata, pihaknya sudah pun berbincang dengan beberapa pihak untuk mengembangkan bakat Alvin bukan sahaja di Malaysia tetapi juga ke peringkat rantau Asia dan antarabangsa.

Selepas melihat kejayaan diraih oleh Fazura, kami bersedia menggerakkan kembara seni Alvin bawah pasukan New Business kami.

Terbaru, Alvin Chong akan melancarkan single baru berjudul Mencintaimu pada akhir bulan November, di mana Alvin akan berkolaborasi dengan Sid Murshid, artis berbakat yang juga bernaung bawah syarikat Universal Music.

Lagu bertajuk Mencintaimu ini akan dimasukkan sebagai salah satu lagu runut bunyi untuk drama bersiri “Coffee Prince”.

Alvin Chong mula dikenali menerusi drama Suri Hati Mr Pilot dan terkenal dalam drama Awak Suka Saya Tak apabila memainkan watak lelaki mualaf.

Malah dia terpalit dengan kontroversi apabila ramai yang keliru dengan status agamanya selepas melakonkan watak lelaki mualaf.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.