
Pasangan Fatzura iaitu Fattah Amin dan Nur Fazura baru sahaja mengaku sudah mengikat tali pertunangan pada 13 November iaitu sebelum mereka berdua menunaikan umrah bersama ahli keluarga.Mereka membuat kenyataan tersebut sebentar tadi dalam satu sidang media khas sebaik pulang dari umrah.
Menurut Fattah, pada 13 November yang lalu keluarganya menghantar rombongan merisik, mengikat tali pertunangan dan kedua-dua keluarga bersetuju untuk melangsungkan majlis merisik sebaik majlis pertunangan.
“Alasan kami sepakat untuk berkongsi tarikh keramat itu selepas kami balik tunai umrah dan kami rasa nak fokus ibadah umrah,” katanya.
Ia sekaligus menolak spekulasi kedua-dua mereka bernikah pada 14 November dalam satu majlis sesama keluarga.
Malahan, ia hanya majlis doa selamat sebelum keberangkatan mereka ke Tanah Suci.
“Kami menafikan cerita kami sudah bernikah sebelum ke Tanah Suci dan juga bernikah di sana.
“Kami akan menjalani proses pernikahan seperti orang lain, daftar dan juga kursus perkahwinan,” tambah Fattah Amin.
Fazura juga kesal dengan tindakan segelintir individu yang sengaja menyebarkan gambar-gambar mereka yang mana dianggap sebagai pelanggaran privasi.
“Majlis kami tertutup dan ia adalah permintaan keluarga.
“Apabila ada pihak yang menyebar dan membuat pelbagai spekulasi, ia sangat menyedihkan,” kata Fazura.
Sebelum ini jurucakap Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Petaling turut menafikan Fattah dan Fazura ada membuat permohonan nikah sebelum ke Tanah Suci.
Ini kerana mana-mana pasangan yang hendak melangsungkan pernikahan perlu membuat permohonan kepada pejabat agama Islam daerah di mana seseorang itu bermastautin.
Walaupun ada khabar angin menyatakan Fattah dan Fazura memilih 13 November 2017 untuk bertunang tetapi mereka berdua tidak memberi apa-apa kenyataan selepas hari tersebut.
Kedua-dua pasangan itu dikatakan menjalinkan hubungan sejak berlakon bersama dalam drama berjudul Hero Seorang Cinderella.