Belia kongsi pengalaman 10 minit bersama Putera Charles

Belia kongsi pengalaman 10 minit bersama Putera Charles

Saat yang tidak dapat lupakan Rahman adalah apabila Putera Charles membuat keputusan untuk duduk di sebelahnya selain mengiktiraf dan memberi komen tentang hasil perbincangan mereka.

Putera-Charles

Mohd Ar Rahman Hussin, seorang pengarah projek di sebuah syarikat swasta tempatan baru selesai menyertai satu mesyuarat apabila dikejutkan dengan satu panggilan akhir bulan lepas.

“Encik Rahman, anda terpilih sebagai seorang daripada peserta majlis kunjungan Putera Charles, Prince of Wales, dan isterinya Camilla, The Duchess of Cornwall untuk meraikan ulangtahun ke-60 hubungan 2 hala antara Malaysia dan United Kingdom”.

Usai panggilan telefon itu, Rahman seolah terjaga daripada mimpi namun realitinya peluang ini tidak datang dengan mudah dan terus menyahut cabaran itu dengan melakukan beberapa persediaan yang sepatutnya.

Kesiapsagaan Suruhanjaya Tinggi British

Tanpa menunggu lama, Rahman, 31, terus berhubung dengan pihak utama dalam mengatur lawatan rasmi itu; Suruhanjaya Tinggi British di Kuala Lumpur yang menadah tangan dan senang hati membantunya melengkapkan persediaan dan persiapan.

“Antara persediaan yang saya lakukan sebelum sesi itu adalah dengan memperbanyakkan membaca artikel, majalah dan buku mengenai topik yang diberi. Ini untuk membantu saya mengendalikan perbincangan yang disertai oleh belia dari pelbagai negara,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Rahman berkata dalam tempoh masa yang diberikan, banyak pandangan dan cadangan yang dapat digarap dan ia satu kejayaan kerana dapat menghasilkan sebuah dokumen cadangan dalam memberi nilai tambah bagi program yang dihadiri Putera Charles.

Jelas Rahman, beliau berasa sangat bertuah kerana terpilih dan menyifatkan peluang itu amat istimewa selain sebagai satu pengalaman yang bernilai.

Kerabat DiRaja Wales cemar duli Malaysia

Seperti diketahui, tanggal 2 Nov adalah detik bersejarah apabila Putera Charles dan isterinya Camilla tiba di Kuala Lumpur untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia.

Pasangan diraja itu melawat pelbagai tempat di Kuala Lumpur, Perak, Sarawak dan Pulau Pinang selain menyertai pelbagai acara penting sepanjang lawatan selama 7 hari yang berakhir pada 8 Nov.

Putera Charles dan Camilla bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat Malaysia termasuk kerabat diraja, kanak-kanak kurang upaya dan komuniti perniagaan.

Pasangan diraja itu juga menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara serta menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Ini adalah lawatan pertama pasangan diraja itu ke Malaysia.

Kerabat diraja British yang pernah melawat Malaysia sebelum ini ialah Ratu Elizabeth II dan suaminya Duke of Edinburgh bagi menghadiri upacara perasmian Sukan Komanwel Ke-16 di Kuala Lumpur pada 1998. Pada September 2012 Duke of Cambridge Putera William dan isteri iaitu Duchess of Cambridge, Kate Middleton, melakukan lawatan ke Malaysia.

Hubungan Malaysia dan United Kingdom meliputi pelbagai bidang termasuk perdagangan, pertahanan dan keselamatan, pelaburan, pendidikan, ekonomi digital, teknoloji hijau, serta tenaga boleh diperbaharui dan pelancongan.

Malaysia adalah pasaran eksport kedua terbesar United Kingdom di ASEAN dan UK juga rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di Eropah manakala dalam bidang pendidikan, kini terdapat lebih 18,000 rakyat Malaysia melanjutkan pelajaran di UK.

Lawatan pasangan diraja itu adalah sebahagian daripada rangka lawatan ke Singapura, Malaysia dan India.

10 minit bersama kerabat diraja Wales

Rahman berkata sepanjang lawatan kerabat diraja Wales itu, beliau yang segak mengenakan baju batik kebangsaan hanya memberikan tumpuan kepada sesi yang disertainya, The Commonwealth Youth Event di University of Nottingham di Kajang.

“Saya terlibat untuk mengetuai sesi bersama peserta dan pelajar dalam acara itu. Kami hanya duduk berbincang dan berbual mengenai topik diberikan sebelum disapa kerabat diraja Wales itu.

“Saat yang saya tidak dapat lupakan adalah apabila Putera Charles membuat keputusan untuk duduk di sebelah saya selain mengiktiraf dan memberi komen tentang hasil perbincangan kami.

“Putera Charles memberitahu kami bahawa perkara yang kami bincangkan adalah suatu perkara yang beliau secara peribadi merasakan perlu diambil berat,” katanya.

Rahman berkata antara pesanan penting Putera Charles dalam pertemuan kira-kira 10 minit itu adalah isu global dunia seperti siber buli, perubahan iklim, ekonomi dan revolusi industri yang penting kepada kesejahteraan masa hadapan generasi hari ini dan akan datang.

Bagi Rahman, pertemuan dengan Putera Charles adalah satu penghormatan besar dan meninggalkan kenangan yang sukar dilupakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.