


Elemen senaman dalam yoga semakin popular selepas ia didapati amat bermanfaat menerusi pelbagai kajian dan penyelidikan di negara barat mahupun negara kelahiran amalan purba itu sendiri, India.

Jurnal berkaitan yoga dan pelbagai penyelidikan menyenarai faedah amalan senaman yoga secara teliti dan mendalam, mengambil kira teknik dan pelaksanaan setiap “pose” serta gerakan. FMT Ohsem memetik 8 manfaat asas amalan senaman yoga. Mungkin selepas ini anda boleh pertimbangkan menyertai kelas yoga mahupun mana-mana kelas aktiviti fizikal.
1. Mengurangkan tekanan dan memperbaiki mood
Tahukah anda senaman tertentu dalam yoga boleh menenangkan dan mengembalikan keceriaan anda? Ya, ini kerana asana dalam yoga dilakukan menggunakan sistem pernafasan yang betul maka ia membantu meningkatkan tahap oksigen ke otak membuatkan anda lebih gembira dan positif. Sesetengah asana (pose) yoga itu sendiri bersifat “berehat” misalnya Savasana (pose mayat) atau Makarasana (pose buaya).
2. Meningkatkan keyakinan diri
Selain meditasi, asana juga membantu dalam meningkatkan keyakinan diri. Proses sepanjang pose tersebut menawarkan tubuh anda menjadi lebih teliti dan tepat, akhirnya membawa kepada keyakinan diri. Antara pose seringkali dikaitkan dengan keyakinan ialah Warrior iaitu Satria yang terdiri daripada 3 variasi. Ia boleh menangkis keresahan dan mememantapkan rasa yakin. Ini kerana anda sebenarnya mendaftar minda anda sebagai seorang satria ketika berada dalam posisi itu, menentang rasa takut atau resah serta segala elemen negatif diri.
3. Mengurangkan tahap kecederaan
Jika ia dilakukan mengikut cara tradisional, senaman atau setiap asana itu selemat dan bebas kecederaan berat. Ini kerana setiap asana dilakukan dengan mengambil masa, memperbetulkan posisi sepanjang proses melaksana dan tidak terburu kecuali sifat kelas itu memang pantas, seperti Power Yoga. Misalnya pose Tadasana (Gunung) yang mungkin dilihat sekadar berdiri tegak tetapi sebenarnya mengajar kita untuk berdiri dengan betul, postur tubuh yang utuh.
4. Membantu menurunkan berat badan
Mungkin setiap asana dilaksana secara perlahan tetapi kesan jangka panjangnya ialah menurunkan berat badan anda. Ini kerana berat badan yang berlebihan bukan sahaja disebabkan pemakanan malah akibat tekanan dan ketidakseimbangan hormon. Setiap asana memberi kesan kepada minda dan mampu memperbaiki sistem dalaman badan iaitu menyeimbangi hormon. Antara asana yang membantu mengurangkan berat ialah Navasana (Perahu) yang mana membantu anda membentuk abdomen dan membakar lemak sekitar perut.
5. Meningkatkan fleksibiliti
Terang-terang lagi sudah kelihatan betapa seseorang itu fleksibel apabila mengamalkan asana yoga ini. Jangan risau kalau anda rasa badan sangat kaku atau ketat, kerana mana-mana pelajar asana yoga, pasti dapat manfaat fleksibiti secara berperingkat. Kalau dulu tak dapat duduk bersila, kini anda boleh duduk untuk sejam, contohnya. Maknanya anda boleh bergerak dengan lebih baik dan mudah. Yoga asana yang membantu meningkatkan fleksibiliti ialah, Shasangana (Kanak-kanak) yang membantu melonggarkan bahagian bawah abdomen.
6. Meningkatkan ketahanan otot
Banyak asana yang dilakukan membantu dalam membentuk dan meningkatkan ketahanan otot. Ini kerana sebilangan besar asana memerlukan kekuatan otot tangan, kaki dan abdomen. Selain itu, asana juga memerlukan kita membuat “baddha” iaitu penguncian yang turut membantu meningkatkan ketahanannya. Asana popular membantu meningkatkan ketahanan otot ialah Chaturanga Dandasana (Plank).
7. Membantu menyelaraskan pernafasan dan tekanan darah
Jika anda mengamalkan asana secara berterusan, ia boleh meningkatkan kemampuan peparu. Ia memberi kesan positif dengan meningkatkan stamina dan ketahanan. Banyak asana yang membantu memperlahankan kadar dengupan jantung sekali gus mengurangkan tekanan darah. Hasilnya, ia memperbaiki sistem imunisasi tubuh dan mengurangkan kolestrol. Asana yang boleh dikaitkan dengan manfaat ini ialah Vajrasana (Berlian), salah satu posisi asana duduk. Ia satu kedudukan rehat yang membantu menyeimbangkan sistem saraf dan menstimulasi setiap kelenjar dan organ dalam badan.
Kalau anda kerap amalkan yoga dan ikuti setiap asana dengan betul, anda pasti akan dapat memperbetulkan postur tubuh secara tidak langsung. Fleksibiliti, ketahanan, dan kekuatan membantu dalam membaiki postur itu. Bila anda duduk atau berdiri, otot abdomen dan tulang belakang akan menyokong badan untuk memberikan posisi betul sekali gus mengelak kecederaan dan kecacatan. Asana yang membantu membaiki postur ialah Vrksasana (Pokok) yang menggalakkan posisi berdiri dengan sebelah kaki secara tegak, seimbang dan tegap.

Kredit gambar: Sakthi School of Yoga, Kajang