

Sama ada di sesebuah negara atau seluruh dunia, banyak filem yang diharamkan dan ini bukanlah perkara pelik.
Di Malaysia juga terdapat 3 buah filem tempatan, diterbit dan diarah oleh rakyat Malaysia tetapi diharamkan tayangannya atas sebab di atas.
FMT Ohsem senaraikan ketiga-tiga filem itu. Jom kita lihat filem-filem tersebut dan ringkasan ceritanya!
Dukun
Baru-baru ini satu klip video memaparkan sedutan filem berjudul “Dukun” dikongsi dalam laman sosial. Filem ini ternyata membawa kelainan kepada penonton walaupun babak yang dikongsi dalam laman sosial hanya beberapa minit. Filem arahan Dain Said sememangnya ditunggu-tunggu penonton pada 2007 kerana adaptasi daripada kisah benar kes pembunuhan berprofil tinggi seorang ahli politik dan wanita dipercayai pengamal sihir ilmu hitam, Mona Fandey. Bagaimanapun filem itu terpaksa dibatalkan tayangan oleh Lembaga Penapisan Filem Negara (LPF).
Ini kerana jalan ceritanya yang penuh kontroversi dikatakan menyinggung perasaan keluarga mangsa yang terlibat. Justeru filem lakonan Umie Aida selaku Diana Dahlan yang membawa watak sebenar Mona Fandey; Adlin Aman Ramlie selaku Datuk Jefri iaitu pelanggan Diana yang juga mangsa pembunuhannya serta Faizal Hussein selaku Karim membawa watak peguam Diana yang turut menjadi naratif kepada filem ini.
Banglasia
Pernah dengar tajuk filem ini? Filem arahan pengarah kontroversi Namewee ini seolah sengaja menarik perhatian negatif dan tidak baik di negara kita, Malaysia. Mungkin itu sebabnya ia menarik perhatian sehingga diharamkan oleh Lembaga Penapisan Filem Negara (LPF) dan Kementerian Dalam Negeri Malaysia (KDN). Filem yang sepatutnya ditayangkan pada 30 Januari 2014 menghadapi halangan kerana membabitkan elemen politik dan menyentuh sensitiviti Malaysia.
Filem ini juga dibikin tepat pada masa ketika rakyat Malaysia sedang mengkritik hebat kebanjiran kemasukan pekerja asing khususnya rakyat Bangladesh. Nama “Banglasia” juga diberikan selepas melihat keadaan ibu kota pada hujung minggu dan hari cuti umum yang dipenuhi rakyat asing (Bangladesh). Filem ini merekod 31 catatan rasmi melibatkan 90% filem tersebut daripada LPF dan KDN ketika proses kelulusan filem. Akhirnya filem tersebut diarahkan supaya dibikin semula penggambaran dan kegagalan berbuat demikian menyebabkan filem asal itu dihalang tayangan termasuk di laman sosial YouTube atau dijual di pasaran secara sah atau haram dan pihak yang menayangkan filem ini.
Ada link, tapi carilah sendiri!
Absent Without Leave
Filem dokumentari penuh kontroversial “Absent Without Leave” arahan Lau Kek Huat dari Setiawan, Perak ini diharamkan tayangan kerana bibit komunisme dalam kandungannya. Ia mengisahkan cerita pengalaman datuk Kek Huat ketika zaman peperangan. Filem dokumentari ini ditayangkan di beberapa festival filem di seluruh dunia termasuk Korea Selatan, Taiwan dan Singapura. Di Festival Filem Antarabangsa Singapura, filem tersebut memenangi Anugerah Penonton. Filem yang mengambil masa 5 tahun untuk dibikin dengan kos lebih RM80,000 diterbitkan oleh Hummingbird Production. Walaupun tayangannya diharamkan, syarikat produksi pernah menayangkan filem ini untuk tontonan umum secara percuma dari 28 Februari hingga 5 Mac 2017 di laman sosial Facebook.