OKU buta yatim piatu berjaya ke universiti

OKU buta yatim piatu berjaya ke universiti

Mahavithia kehilangan ibunya akibat penyakit kanser pada usia 5 tahun dan setahun kemudian kehilangan kedua-dua penglihatan kerana demam panas.

A-Mahavithia-oku-buta-universiti-pelajar-usm
fmt-ohsem-inside-article1Tiada masalah mempunyai kekurangan fizikal, asalkan seseorang itu tidak mempunyai kekurangan dalam usaha mencapai cita-cita.

Perkara itu dibuktikan oleh 52 pelajar kurang upaya (OKU) yang kini berjaya menjejakkan kaki ke Universiti Sains Malaysia (USM) dalam pelbagai bidang pengajian.

Ternyata perjalanan mereka untuk sampai ke tahap ini tidak mudah, khususnya bagi pelajar OKU penglihatan, A Mahavithia.

Menurut laporan The Star, Mahavithia kehilangan ibu akibat penyakit kanser pada usia 5 tahun dan setahun kemudian kehilangan kedua-dua penglihatan kerana demam panas.

Bapanya pula meninggal dunia ketika dia berusia 14 tahun.

Namun, dia tidak pernah mengalah dan terus berusaha keras untuk membuktikan kemampuannya mengatasi kekurangan yang ada.

“Saya mahu menjadi guru,” katanya, petik akhbar itu.

Kini, Mahavithia yang berusia 22 tahun menjadi pelajar USM pengambilan akademik 2017/2018 bagi jurusan kesusasteraan.

“Saya masih bimbang memikirkan pergerakan saya dalam kampus kelak tetapi saya sangat bersyukur kerana diterima menjadi pelajar di universiti berprestij ini,” katanya lagi.

Beberapa pelajar OKU yang lain turut menyampaikan rasa syukur dan bangga kerana berjaya melanjutkan pelajaran di peringkat universiti.

Misalnya, Muhammad Aslam Abdul Aziz, 21, yang mengalami kekurangan fizikal selepas terlibat dalam kemalangan 4 tahun yang lalu.

Dia juga bakal berkongsi bilik kuliah bersama Mahavithia di pusat pengajian kesusasteraan.

Timbalan Canselor USM Datuk Prof Dr Asma Ismail mengesahkan seramai 3,931 pelajar baharu menyertai pengajian akademik tahun ini termasuk pelajar OKU dan 335 pelajar antarabangsa di 3 kampus USM.

Beliau juga berkata, di bawah Program Tanggungjawab Sosial Universiti, pihaknya menawarkan 864 tempat bagi pelajar dari keluarga kurang mampu.

FMT Ohsem juga menyampaikan tahniah kepada semua pelajar di seluruh negara yang sahaja melangkahkan kaki ke alam baharu fasa pendidikan, khususnya kepada pelajar OKU yang terus menjadi contoh unggul.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.