
Awal-awal pagi lagi Sharon Tan sudah berkumpul bersama rakan-rakannya. Bertolak dari Subang Jaya destinasi mereka ialah Kajang.Matlamat utama kumpulan pesara itu ialah untuk bergembira bersama dan berehat daripada rutin harian di rumah.
Matlamat sampingan ialah untuk menikmati sate Kajang, dan mencuba perkhidmatan transit aliran massa (MRT), yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 17 Julai lepas.
Selepas bersesak dalam transit aliran ringan (LRT) yang dinaiki pada waktu puncak, Sharon dan kawan-kawan menarik nafas lega apabila dapat duduk dengan selesa apabila menaiki MRT.
“Ini adalah pertama kali kami menaiki MRT, memang puas hati, selesa, luas.
“Selepas ini kami nak singgah di Bukit Bintang pula, jalan-jalan, ‘window shopping’,” Sharon memberitahu penulis ketika kami sama-sama di dalam tren baru-baru ini.
Apa yang Sharon tidak tahu ialah hari itu juga adalah pengalaman pertama penulis menaiki MRT.
Penulis memulakan “kembara kecil” ini dari Stesen KTM-MRT Sungai Buloh.
Matahari sudah meninggi sewaktu penulis membelok masuk ke bangunan parkir bertingkat stesen berkenaan.
Puas juga penulis berpusing-pusing mencari ruang kosong, memandangkan bangunan 8 tingkat dengan kapasiti 300 ruang parkir itu sudah dipenuhi kenderaan pengguna tren yang bergerak ke tempat kerja awal pagi.
Selesai meletakkan kereta, penulis menggunakan lif berdekatan untuk turun ke tingkat paling bawah dan berjalan menuju ke bangunan utama stesen.
Kelihatan laluan untuk kemudahan pengguna orang kurang upaya (OKU) turut disediakan.
Suasana di dalam stesen lapang, bersih dan nyaman.
Penulis difahamkan seni bina stesen adalah berdasarkan konsep wakaf iaitu binaan tradisional Melayu yang dibina sebagai tempat berehat pengembara pada masa dahulu.
Reka bentuknya terbuka, diterangi cahaya semula jadi dan mempunyai aliran udara yang baik serta turut menggunakan kipas angin.
Bagi melancarkan perjalanan dan untuk mendapatkan ‘flat rate’ RM4.30 bagi parkir, penulis menggunakan kad Touch N Go.
Pengangkutan mesra warga emas
Pada mulanya keadaan di dalam koc lengang dan sunyi. Hanya kelihatan beberapa orang warga emas.
Gabungan warna biru kehijauan dan kelabu yang mendominasi hiasan dalaman gerabak mewujudkan suasana yang ‘sejuk’ dan tenang.
Penumpang bertambah dan suasana semakin meriah apabila tren berhenti di stesen-stesen dalam kawasan Kota Damansara dan Damansara.
Selain warga emas, kebanyakan pengguna terdiri daripada golongan belia khususnya pelajar kolej.
Warga emas dilihat menaiki MRT secara berkumpulan, berpasangan dan ada juga yang berseorangan.
Penulis memberanikan diri mendekati pasangan warga emas yang menaiki tren bersama penulis di Sungai Buloh.
Selepas memperkenalkan diri dan berbual, penulis dimaklumkan Ibrahim Abdullah, 68, dan isteri Rahimah Yusof, 67, mereka mengambil komuter dari Rawang dan kemudiannya transit di Sungai Buloh untuk menaiki MRT
“Kalau dulu rasa leceh sangat nak ke Kuala Lumpur.
“Nak kena bawa kereta, rasa jauh saja.
“Sekarang senang dah ada MRT,” ujar Ibrahim.
Sejak dilancarkan MRT sememangnya popular dalam kalangan warga emas.
Hal itu menarik perhatian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang mencadangkan supaya diwujudkan khidmat sukarelawan bagi membantu golongan warga emas dan OKU yang menggunakan perkhidmatan berkenaan.
Mudah bergerak, elak kesesakan
MRT juga memudahkan golongan pekerja.
Ahli perniagaan dan penasihat kewangan, Faiz Najmi memberitahu penulis kos perjalanan seperti petrol dan sewa parkir dapat dijimatkan sehingga 80 ke 90% menggunakan pengangkutan awam itu.
“Apabila ada stesen (MRT) di Taman Tun yang berdekatan rumah, lebih mudah bagi saya menggunakan pengangkutan awam untuk berjumpa pelanggan di sekitar Kuala Lumpur,” cerita Faiz.
Pemuda berusia 31 tahun itu berhenti daripada kerjaya sebagai doktor untuk menceburi bidang perniagaan 4 tahun lepas.
Beliau turut berkongsi pengalamannya menggunakan MRT secara terperinci menerusi laman Facebooknya.
Selain memberi manfaat kepada lebih 200,000 pengguna perkhidmatan itu setiap hari, menurut laporan akhbar kesesakan lalu lintas di sekitar ibu kota berkurang sebanyak 22% selepas MRT dilancarkan,
Jajaran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya pada 2022
MRT adalah Projek Penggerak Ekonomi di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang.
NKEA adalah sebahagian daripada Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dilaksanakan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) di bawah Jabatan Perdana Menteri
Laluan Sungai Buloh-Kajang sejauh 51km dan melibatkan 31 stesen ini adalah projek pertama daripada 3 jajaran yang dirancang.
Pembinaan yang bermula pada 2011 itu, siap sepenuhnya pada 17 Julai lepas.
Fasa pertama iaitu laluan dari Stesen Sungai Buloh hingga Stesen Semantan bermula operasi pada 16 Dis tahun lepas.
Setiap tren mempunyai 4 gerabak dengan kapasiti penumpang sebanyak 1,200 orang.
Jajaran kedua iaitu Jajaran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya kini sudah memulakan pembinaan dan dijangka beroperasi pada 2022.
Walaupun dicemari dengan insiden vandalisme, pihak pengurusan MRT Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) meneruskan usaha mendidik masyarakat untuk menjadi pengguna pengangkutan awam yang berhemah.
Antaranya MRT Corp memuatnaik gambar-gambar pengguna (yang ditutup muka) yang melakukan aktiviti terlarang seperti makan dan meletakkan beg di atas kerusi dalam media sosial.
Pihak berkenaan juga menggunakan gimik anak patung untuk memberi peringatan kepada pengguna yang tidak bertanggungjawab.
Berhenti untuk makan Sate Kajang
Akibat asyik merenung ke luar menikmati pemandangan di pinggir kota, tanpa penulis sedari tren semakin jauh meninggalkan pusat bandar.
Penumpang juga berkurangan.
Penulis sebenarnya bercadang untuk melihat berapa lama yang diperlukan untuk sampai ke stesen terakhir iaitu stesen Kajang, namun kalah dengan bunyi perut yang kelaparan, penulis akhirnya mengambil keputusan untuk berhenti di stesen kedua terakhir iaitu Stesen Stadium Kajang, stesen yang berdekatan dengan sebuah restoran sate terkenal.
Masa yang diambil dari Stesen Sungai Buloh ke Stesen Stadium Kajang ialah 1 jam 15 minit.
Turut turun bersama penulis ialah Ibrahim dan Rahimah serta Sharon dan kawan-kawan.
Kami bertukar senyuman bermakna apabila berselisih.
Pastinya masing-masing sudah terbayang keenakan sate dan kuah kacang, apatah lagi ketika itu sudah tiba masa makan tengah hari.
Apapun matlamatnya, sama ada sate atau asam pedas, membeli-belah atau bekerja, atau hanya mahu cuci mata sambil mencari ilham dan merehatkan minda; tanpa perlu sakit hati menempuh kesesakan jalan raya, atau sakit kepala berpusing mencari parkir, sememangnya MRT berbaloi untuk satu pengembaraan kecil.