

Rahsianya adalah mengenai jerawat pada wajah anda. Kalau selama ini anda fikir jerawat itu petanda ada orang “minat” anda, sebenarnya tidak.
Hakikatnya, jerawat adalah amaran mengenai tahap dan kualiti kesihatan anda. Jadi, bila naik jerawat di mana-mana bahagian muka, jangan syok, sila ambil perhatian.
Maklumat mengenai hubungan antara jerawat dan kesihatan disampaikan oleh pakar kulit di Sydney, Emma Hobson yang juga pengurus pendidikan di Institut Derma Antarabangsa.
“Wajah kita seperti peta yang mempamer apa yang berlaku dalam badan,” jelasnya.
Ok, mari kita lihat analisis peta wajah yang dilakukan oleh Emma.

Dahi
Mungkin anda tak cukup air dan mengamalkan diet yang tidak sihat menyebabkan jerawat tumbuh di dahi. Kawasan ini ada kaitan dengan perut dan jerawat menunjukkan perut anda ada masalah, kata Emma. “Diet lemah, tekanan dan tiada toleransi terhadap makanan termasuk tidak cukup air,” kata Emma.
Dagu
Dagu adalah lokasi pergerakan hormon yang aktif. Sebab itulah ramai yang naik jerawat di situ. Bagaimanapun paten itu berubah apabila anda lanjut usia. Namun, dagu juga dikaitkan dengan usus besar, jadi alergi atau diet lemah boleh dikaitkan dengannya. “Tambah lebih air dan serat dalam makanan anda!” nasihat Emma.
Pipi
Jerawat di pipi ada kaitan dengan kesihatan paru-paru. Pencemaran boleh menyebabkan gangguan pada peparu dan diterjemahkan pada kulit.
Di antara bulu kening
Salah satu kawasan yang penting kerana ia bermakna anda ada isu dengan hati, eh bukan hati tu, ini adalah organ dalam badan anda. Lazimnya ia berlaku pada mereka yang suka mengambil alkohol. Selain itu, ia juga bermakna anda kena jauhkan diri daripada laktosa.
Zon-T
Ini juga kawasan yang dikaitkan dengan hati dan perut. Selain itu masalah dehidrasi, pengambilan alkohol dan pengambilan makanan berminyak juga menyebabkan sensitiviti kepada toksin yang berkumpul di kawasan itu.
Sekitar bibir
Ia dikaitkan dengan haid anda. Mungkin ia memberi indikasi mengenai perubahan dalam kitaran haid. Tak cukup serat juga antara sebab lain.
Telinga, pelipis dan bawah mata
Tekanan! Ya, kawasan ini mengindikasi anda sangat tertekan, jadi dapatkan rehat yang cukup, tidur 7 hingga 8 jam sehari dan minum banyak air.
Leher
Ia bukanlah kawasan yang biasa untuk jerawat. Tetapi kalau kena juga, maknanya anda ada masalah kesihatan yang dikaitkan dengan tiroid. Mereka dengan tiroid kurang aktif mempunyai hormon progesteron rendah yang menyebabkan jerawat. Progesteron adalah hormon menentang jerawat. Maka, anda kena jumpa doktor segera!