
Berita filem terbitan Astro Shaw bersama Global Station dan Nuansa berjudul “Kau Yang Satu” yang dirakam dan disebarkan di media sosial secara langsung nampaknya memberi kebimbangan baharu kepada pemain industri perfileman.Malah, mereka yang dihubungi FMT Ohsem akui menjangkakan perkara ini akan berlaku kerana ia juga sebahagian daripada jenayah cetak rompak yang sekian lama wujud dan semakin mengoncangkan industri perfileman tempatan.
Pelakon, penerbit dan aktivis hiburan, Datuk Rosyam Nor menyifatkan perbuatan itu sebagai jenayah siber besar walaupun tidak membawa apa-apa keuntungan kepada si perakam.
“Ternyata individu yang merakam menggunakan FB Live tidak mendapat apa-apa keuntungan daripada perbuatan itu. Ia satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan khianat.
“Sama dengan kesalahan mencuri cuma tidak kelihatan secara fizikal tetapi tertakluk dalam undang-undang siber,” kata Rosyam menyatakan filem KL Gangster 2 juga pernah menerima nasib sama apabila ada pihak yang memuat naik di Youtube ketika ia masih ditayang di pawagam.
Mengambil kira aspek sekuriti di pawagam, Rosyam akui, pawagam juga perlu memainkan peranan lebih berhati-hati dan memantau aktiviti dalam bilik tayangan sebagai tanggungjawab mereka.
Rosyam mencadangkan agar kerajaan mengambil langkah lebih tegas supaya industri perfileman tidak terkubur akibat perbuatan cetak rompak ini.
Mekanisma untuk halang rakaman filem secara haram
“Contohnya, di China, mereka halang Facebook. Kalau ada yang berani buka dan dikesan maka wujud satu ‘fire wall’ yang akan terus halang mereka daripada semua perkhidmatan dalam talian. Ia menakutkan para pengguna sehingga mereka tidak berani walaupun sekadar mencuba. Kita juga kena ada ‘fire wall’ sedemikian.
“Bila wujud pelanggaran dalam sistem alam maya, kita kena menapis guna platform yang sama (alam maya). Wujudkan sistem seperti Kementerian Pertahanan dalam alam maya, kerana perkara ini tidak boleh dihalang menggunakan fizikal,” katanya lagi.
Dalam pada itu, penerbit Haris Sulong mengakui insiden seperti ini memberi kesan negatif kepada industri hiburan khususnya perfileman negara yang sudahpun suram.
“Ini adalah kerja orang tidak bertanggungjawab. Kalau perkara seperti ini berterusan, nanti jangan salahkan penerbit tak bawa filem berkualiti.
“Mana-mana jenis cetak rompak memberi kesan kepada kutipan dan pulangan, seterusnya kepada pemain industri dalam menerbitkan karya berkualiti ekoran ketiadaan bajet,” katanya.
Justeru, Haris berkata pihak pengeluar sepertinya hanya boleh bergantung kepada kerajaan menerusi agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) supaya menghalang dan menghukum pihak yang berbuat demikian.
“Jika pihak berkuasa beri hukuman berat, ia akan menjadikan orang lain takut mengulangi kesalahan itu. Ia bukan sahaja untuk rakaman FB Live ini tetapi mana-mana cetak rompak,” jelas penerbit filem Redha yang bakal tampil dengan projek baharu awal tahun hadapan.
“Mungkin pihak produksi juga yang kena tempatkan pemerhati di pawagam untuk mengawal masalah ini, sekali lagi ia melibatkan kos di pihak kami,” kata Haris lagi.
FMT Ohsem turut menghubungi pelakon, pelawak dan pengacara, Harith Iskandar berkenaan isu ini.
Masyarakat tak fikir ia jenayah
“Kita semua sudah mengjangkakan perkara ini akan berlaku. Ini kerana masyarakat kita masih tidak cukup ilmu mengenai jenayah cetak rompak. Malah mereka tidak rasa bersalah apabila menonton sesebuah karya yang ‘dicuri’ secara percuma,” katanya yang akui masalah tersebut turut berlaku dalam persembahannya.
Harith berkata, setiap kali membuat persembahan, beliau terpaksa membuat pengumuman supaya tidak merakam. Namun masih ada orang yang berbuat demikian sehinggalah Harith sendiri menghentikan mereka.
Justeru, beliau menyalahkan individu itu sendiri sebagai tidak bertanggungjawab dan mungkin tidak sedar apa yang dilakukan itu sebagai satu kesalahan, sama seperti mencuri.
“Kebanyakan rakyat kita tak faham kesan cetak rompak. Mereka fikir ia hak mereka dan tidak memberi penghargaan kepada hak kreativiti. Kalau boleh semua nak free,” katanya.
Harith berkata kerajaan sudahpun tampil dengan pelbagai usaha dan kempen menanggani masalah ini tetapi selagi individu itu sendiri tidak berusaha maka semuanya sia-sia.
“Satu alternatif yang boleh saya fikir dalam isu ini ialah, mendeposit telefon bimbit dalam kotak sewaktu masuk pawagam. Tetapi ia akan menterjemah satu persepsi yang sangat buruk terhadap penonton Malaysia. Semoga kita tak sampai ke tahap itu,” harapannya.
Akhir sekali, penerbit filem dan artis Tamil tempatan yang dikenali sebagai Vijay Emergency juga melihat isu yang dihadapi filem ‘Kau Yang satu’ sebagai masalah jenayah cetak rompak.
Penjenayah siber guna gajet canggih, ada askar sendiri
Vijay berkata masalah ini bukan sahaja sekitar muatnaik di Youtube atau rakaman FB Live tetapi menggunakan pelbagai gajet dan aplikasi canggih lain dalam pelbagai platform di Internet.
“Jangan ingat perakam sekadar membawa telefon bimbit sahaja, tetapi perkara seperti ini boleh dilakukan menggunakan pelbagai gajet lain yang mungkin disambungkan kepada telefon bimbit.
“Kalau kita nak banteras, pihak yang terlibat dalam bisnes cetak rompak secara besar-besaran pula mempunyai ‘askar’ mereka untuk mempertahankan perbuatan tersebut. Jadi ini satu serangan yang rumit dan perlu dikendali secara bijak,” katanya.
Vijay akui terdapat pelbagai aplikasi yang mengesan jika sesuatu karya yang dimuat naik oleh pihak pengeluar dalam Youtube diambil secara haram tetapi mahal dan memerlukan pengurusan serta pengendalian yang teliti.
“Kami dalam industri filem Tamil tempatan misalnya, tidak boleh bergantung pada pawagam kerana persaingan daripada filem dari India. Pasaran ke-2 terbesar ialah cakera padat (DVD atau CD), saluran Astro First dan kemudian dimuat naik dalam Youtube milik akaun persendirian untuk menjana pendapatan melalui iklan dan sebagainya,” katanya.
Namun, apabila industri filem Tamil tempatan juga terkesan dalam jenayah cetak rompak, ternyata pembikin filem seperti Vijay terpaksa fikir beberapa kali sebelum tampil dengan karya baharu.
Jumaat lalu filem “Kau Yang Satu” ini dirakam secara langsung menerusi laman sosial Facebook ditonton lebih daripada 200 ribu orang, menyebabkan berlaku kerugian RM2 juta.
Filem arahan Osman Ali itu dibintangi pelakon popular seperti Aaron Aziz, Izara Aishah, Hisyam Hamid, Soo Wincci.
Osman Ali sebelum ini pernah tampil degan karya blockbuster, Ombak Rindu dengan kutipan RM10.9 juta.