

Sekitar 21.5% daripada 27,971 perkahwinan pada 2016 adalah perkahwinan antara etnik.
Statistik perkahwinan antara etnik ini menunjukkan peningkatan ketara dalam kalangan orang Islam.
Daripada 2,017 perkahwinan antara etnik orang Islam, pasangan datang dari kategori “Lain-lain” untuk 29.4% pengantin lelaki Melayu dan 22.5% untuk pengantin perempuan Melayu.
Perkahwinan antara pengantin lelaki dan pengantin perempuan Cina dengan kumpulan etnik “Lain-lain” mencatat 48.6% daripada 4,007 perkahwinan sivil antara etnik dalam komuniti pada 2016.
Statistik juga menunjukkan hanya 7.9% pengantin perempuan Cina berkahwin dengan pasangan dari kumpulan “Lain-lain”.
“Lain-lain” di sini merujuk kepada semua etnik termasuk Cina, Melayu, India, Serani dan Kaukasia selain daripada kumpulan etnik dalam pertimbangan.
Perangkaan itu adalah antara dapatan Laporan 2016 Statistik Perkahwinan dan Perceraian yang disiarkan semalam (18 Julai) oleh Jabatan Statistik Singapura.
Sebanyak 27,971 perkahwinan sivil dan Islam didaftarkan pada 2016 di Singapura. Perangkaan ini adalah 1.2% lebih rendah daripada 28,322 perkahwinan yang didaftar pada tahun sebelumnya.
Perkahwinan sivil merujuk kepada perkahwinan yang didaftar di bawah Piagam Wanita sementara perkahwinan orang Islam adalah perkahwinan yang didaftar di bawah Akta Undang-Undang Pentadbiran Islam.
Sejak satu dekad yang lepas, ketika kadar perkahwinan untuk kumpulan umur bawah 30 tahun menurun, perkahwinan untuk yang berusia 30 tahun pula meningkat.
Kenaikan besar dicatat untuk kumpulan umur 30-34 tahun iaitu usia kemuncak untuk lelaki berkahwin. Bagi wanita pula, kadar perkahwinan adalah paling tinggi untuk mereka yang berusia antara 25 hingga 29 tahun dan 30 hingga 34 tahun untuk 2016.
Dari segi Perbezaan Pendidikan Ketika Berkahwin, nisbah pengantin lelaki berkahwin dengan pengantin perempuan sama ada mempunyai kelulusan pendidikan yang serupa atau lebih tinggi meningkat sejak 10 tahun lepas.
Nisbah pengantin lelaki yang mempunyai kelulusan universiti berkahwin dengan pengantin perempuan yang mempunyai kelulusan yang sama meningkat dari 73.5% pada 2006 kepada 81.9% pada 2016 untuk pengantin lelaki dalam perkahwinan sivil.
Untuk pengantin lelaki dalam perkahwinan Islam, angkanya meningkat dari 53.6% kepada 61.2%.
Statistik pengantin perempuan dalam perkahwinan sivil menunjukkan lebih daripada 3/4 yang mempunyai ijazah dari universiti mengahwini pengantin lelaki dengan kelulusan yang sama pada 2016. Perangkaan ini adalah lebih tinggi berbanding 10 tahun lepas.
Bagaimanapun, keadaan adalah berbeza untuk pengantin beragama Islam di mana nisbah pengantin perempuan berkahwin dengan suami yang mempunyai kelulusan yang sama jatuh dari 46.2% kepada 41.4% pada tempoh yang sama.
Sementara itu, ada beberapa dapatan lain yang berkaitan kes perceraian yang dipaparkan dalam Laporan 2016 Statistik Perkahwinan dan Perceraian itu.
Antaranya, kes perceraian pasangan beragama Islam di Singapura yang meningkat kepada 1,702 pada 2016 dari 1,667 pada 2015.
Di bawah Akta Undang-Undang Pentadbiran Islam, tuntutan perceraian yang dikemukakan oleh isteri adalah hampir 7 daripada 10 kes perceraian orang Islam pada 2016.
Pada 2016, faktor curang adalah paling atas untuk kegagalan perkahwinan dan ini disebut oleh plaintif lelaki dan perempuan, masing-masing 24.8 dan 19.4%.
Alasan kedua teratas untuk perceraian ialah “plaintif lelaki meninggalkan isteri” (14.9%) dan “masalah kewangan” untuk plaintif perempuan (14.4%).
Secara keseluruhannya, sejumlah 7,614 perkahwinan berakhir dengan perceraian atau pemansuhan pada 2016, naik 1.2% dari 7,522 pemansuhan perkahwinan apda tahun sebelumnya.
Untuk setiap seribu penduduk lelaki berusia lebih 20 tahun, terdapat 7.1 duda dan untuk perempuan pula, 6.6.
Kadar perceraian dilihat lebih tinggi dalam kalangan mereka yang muda berbanding yang lebih berusia.
Bagaimanapun, kadar perbezaan ini semakin mengecil sejak sedekad lalu apabila kadar perceraian untuk penduduk lebih muda berusia 35 tahun ke bawah menurun tetapi kadar itu bertambah untuk yang berumur 35 tahun dan ke atas.
Tempoh perkahwinan juga nampaknya singkat untuk kedua-dua pasangan Islam dan perkahwinan sivil. Pada 2016, tempoh perkahwinan ialah 10.3 tahun untuk perceraian sivil dan 8.7 tahun untuk perceraian Islam.
Pasangan yang berkahwin untuk 5-9 tahun adalah paling ramai (31.1%) perceraian sivil pada 2016, diikuti mereka yang berkahwin untuk 20 tahun atau lebih lama (21.2%).
Dalam kalangan perceraian pasangan beragama Islam pada 2016, mereka yang berkahwin kurang dari lima tahun adalah yang paling ramai (29.3%), diikuti mereka yang berkahwin untuk 5-9 tahun (26%).
Di bawah Piagam Wanita, isteri paling ramai mengemukakan tuntutan cerai untuk perceraian sivil pada 2016 (62.4%), meskipun jumlah ini lebih rendah daripada 2006 (68.6%).
Dalam kalangan perceraian sivil pada 2016, dua punca perceraian ialah “Kelakuan yang tidak boleh diterima” (53.5%) dan “hidup berasingan atau berpisah untuk tiga tahun atau lebih” (42.5%).
“Kelakuan yang tidak boleh diterima” pasangan disebut sebagai alasan paling utama untuk plaintif perempuan mengemukakan tuntutan perceraian (58.6%).