
Remaja lelaki yang membelanjakan lebih RM200,000 untuk mencantikkan dan mengubah wajahnya, juga dikenali sebagai lelaki anime, kesal dengan sikap netizen yang mengutuk dan mengecamnya di laman sosial.Amirul Rizwan Musa atau dikenali sebagai Miyyo Rizone memuat naik posting di Facebook menyatakan kekesalannya selepas menjadi bahan kutuk, maki hamun dan kecaman netizen.
“Saya mintak maaf sangat if ada yang tak senang mengenai viral saya. Saya tak sangka yang viral pasal saya boleh hangat diperkatakan oleh rakyat malaysia sampai mcm ni sekali. Merata-rata page blog yang viral pasal saya sampai ke luar negara.
Ramai wartawan, stesten tv, radio, media hiburan yang menghubungi saya mengenai perkara ini.
“Terima kasih pada kamu semua yang mengutuk mencaci memaki saya, saya tahu silap saya dan saya mintak maaf. Juga terima kasih banyak-banyak pada mereka yang menyokong saya yang memahami saya.
“Dan apa yang pasti saya tidak ambil peduli pasal apa yang anda katakan pada saya, positif dari kamu saya ambil yang negatif saya tolak tepi. Saya mohon cukuplah mengutuk saya,” tulisnya semalam.
Dia kemudian dalam satu temuramah dengan akhbar New Straits Times meminta orang ramai supaya berhenti mengutuknya.
Usahawan berusia 21 tahun dari Kelantan mengubah langsung wajah dan warna kulitnya sehingga tidak lagi kelihatan seperti wajah asal.
“Saya menerima perhatian di luar jangkaan sehingga pelanggan saya hilang kepercayaan dan mengutuk saya kerana melakukan pembedahan demi mengubah rupa paras,” kata pemilik MR Beauty Line Sdn Bhd kepada akhbar itu.
Tambahnya, orang ramai mula mengancamnya dengan kata-kata kesat sama ada secara bersemuka atau dalam talian.
Tidak ketinggalan ahli keluarga termasuk adik-beradiknya sendiri.
Justeru, dia meminta supaya masyarakat memahami situasi dan berhenti menyerang dan menyumpahnya, kerana ia memberi tekanan kepadanya.
Perubahan ketara wajah dan rupa paras Amirul Rizwan menjadi buah mulut netizen selepas media tempatan membuat laporan mengenai pembedahan yang dilaluinya untuk kelihatan seperti watak anime.
Perubahan dari lelaki Melayu tipikal dengan masalah kulit yang ketara, kini berwajah mulus, kulit putih melepak dengan wajah runcing, hidung muncung dan bibir merah, Amirul umpama kehilangan diri yang asal.
Bagaimanapun, bagi jejaka ini, dia terpaksa berbuat demikian selepas wajahnya menjadi buruk akibat demam campak yang dialami pada usia 16 tahun.