
Seorang jurugambar terkejut dan segera merakam gambar seekor belalang berwarna merah jambu yang ditemui berkeliaran di atas sebatang pokok berhampiran sebuah tasik kecil di Ipswich, Suffolk.Jurugambar amatur itu, Richard Taylor menemuinya ketika dia sedang menikmati makanan tengah hari di kawasan tasik berkenaan.
“Saya agak terkejut apabila melihat sejenis serangga yang berwarna terang bergerak di atas dedaun menyebabkan saya tidak melepaskan peluang merakam gambar belalang itu,” katanya dipetik Daily Mail.
Lazimnya, belalang hanya berwarna hijau, kuning atau gabungan kedua-dua warna berkenaan bagi membolehkan ia kelihatan sama seperti persekitarannya.

Bagaimanapun, belalang berwarna merah jambu dikatakan terjadi akibat mutasi genetik yang jarang berlaku dan dikenali sebagai erythrism.
Perkara itu mengakibatkan badan atau bulu haiwan tersebut akan bertukar menjadi warna merah jambu.
Bagaimanapun belalang merah jambu ini tidak hidup lama kerana mudah dikesan pemangsanya.

Menariknya, Richard juga pernah menemui belalang merah jambu yang sama di lokasi sama pada tahun lalu.
“Ia mungkin berkaitan antara satu sama lain. Sebenarnya kehadiran belalang ini mudah dikesan kerana warnanya terang dan berbeza,” katanya.