
Peka terhadap keselamatan jemaah wanita terutama warga emas yang berjalan kaki berseorangan sewaktu pulang dari menunaikan solat tarawih, sekumpulan anak muda dari Taman AU2, Keramat, di sini mengambil inisiatif mewujudkan pasukan pengiring bermotosikal sepanjang bulan Ramadan untuk jemaah 2 surau di kawasan itu.Anggota rondaan sukarelawan, Nik Amir Aimi Mohd Yusof, 18, berkata kumpulan pengiring seramai 18 orang akan dibahagikan mengawal di beberapa lorong perumahan itu untuk memantau pergerakan pulang jemaah dan mengiringi mereka sehingga selamat masuk ke kediaman masing-masing setelah menjalankan ibadah di Surau Al Mukarramah dan Al Islah.
Beliau berkata mereka akan mula mengiringi jemaah pulang seawal 9.30 malam dan akan meneruskan rondaan di kawasan perumahan itu sehingga sekurang-kurangnya jam 3 pagi.
“Idea untuk melakukan aktiviti mengiringi jemaah ini tercetus selepas berlakunya kegiatan samun dan ragut di taman ini pada Ramadan tahun lalu sehingga menyebabkan jemaah berasa tidak tenang untuk ke surau bagi menjalankan ibadah.
“Justeru kami fikir, inilah kesempatan terbaik untuk berbakti kepada masyarakat di sini dengan membantu mengawal keselamatan kejiranan dan syukur setakat ini inisiatif kami, berjaya mengelakkan berulangnya kes jenayah seperti tahun lalu,” katanya kepada Bernama.
Bagi Khuzairi Azrin Adnan, 31, biarpun kebanyakan ahli mempunyai komitmen dan pekerjaan masing-masing, namun mereka tetap bersemangat untuk meluangkan masa di waktu malam bagi menyertai rondaan.
“Ahli rondaan terutama golongan belia begitu teruja untuk turut serta melakukan rondaan dan saya lihat ini satu perkembangan baik kerana membantu mengelakkan mereka daripada terjerumus melakukan kegiatan tidak bermanfaat.
“Kerjasama ditunjukkan amat memberangsangkan dan ini memberi kami semangat untuk meneruskan konsep kawalan seperti ini pada Aidilfitri nanti,” katanya.
Bagi warga emas, Halimathon Esah, 61, langkah melakukan rondaan, pemantauan dan mengiringi jemaah pada waktu malam membuatkan beliau dan rakan-rakan berasa lebih selamat untuk berjalan pulang ke rumah selepas selesai bertarawih dan tadarus.
“Makcik berterima kasih kepada usaha anak-anak muda ini kerana makcik kini dapat beribadah dengan tenang, malah tidak khuatir sekiranya lewat pulang ke rumah kerana mereka sentiasa ada di setiap lorong taman ini malah sanggup menunggu di pintu pagar sehingga makcik selamat masuk ke dalam rumah,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Kelab Rukun Tetangga Taman AU2, Wazir Bahatin, 49, berkata aktiviti rondaan dan mengiringi jemaah pulang dari beribadat itu memberi manfaat kepada kira-kira 300 jemaah dari 2 surau di taman itu.
Tambah beliau, aktiviti itu juga sangat dihargai penduduk sehingga ada yang menghulurkan duit minyak kepada pasukan pengiring, selain memberi bantuan alatan komunikasi seperti walkie talkie.