‘Umie Aktif’ program jana pendapatan bagi ibu-ibu di jalan Chow Kit

‘Umie Aktif’ program jana pendapatan bagi ibu-ibu di jalan Chow Kit

Hasil kraftangan dijual secara dalam talian menerusi laman Facebook dan Instagram, yang mana hasil jualan nanti akan diagihkan semula kepada kaum ibu berkenaan.

Umi-Aktif
fmt-ohsem-inside-article1Bila sebut Chow Kit, apa yang terlintas di minda kita hanyalah jalan yang basah, becak dan berbau serta lorong gelap bersama seribu satu kisah dunia yang menyedihkan.

Bagaimanapun pandangan itu cuba diubah oleh sekumpulan anak muda yang mahu melihat penghuni di Jalan Chow Kit mendapat layanan sama seperti orang lain, malah mampu menjana pendapatan untuk menyara diri sendiri serta keluarga.

‘Umie Aktif’ merupakan sebuah program diwujudkan oleh 5 anak muda diketuai Nik Sin Nik Man, 35, sejak 3 tahun lepas bagi menjana pendapatan penghuni di Jalan Chow Kit khususnya kaum ibu, dengan memasarkan produk kraftangan seperti anak patung dan beg.

“Program ini diwujudkan sebagai platform bagi membantu kaum ibu di sini mendapatkan pengalaman memulakan langkah pertama dalam bidang keusahawanan. Selain itu, kami juga mengajar ibu-ibu ini berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris,” katanya ketika dihubungi Bernama, baru-baru ini.

Beliau yang juga penolong juruukur itu berkata, kesemua hasil kraftangan dijual secara dalam talian menerusi laman Facebook dan Instagram, yang mana hasil jualan nanti akan diagihkan semula kepada kaum ibu berkenaan.

“Program ini mendapat sambutan yang baik daripada kaum ibu di sini. Setakat ini, jumlah peserta program sudah mencapai hampir 30 orang,” kata Nik Sin.

Seorang tenaga pengajar, Lawrance Abus, 30, berkata program yang dikendalikan secara sukarela itu juga, dapat membantu kaum ibu di Chow Kit keluar daripada masalah kewangan.

“Mereka tidak mempunyai pendapatan tetap, daripada berpeleseran di bahu-bahu jalan yang tidak mendatangkan faedah sekurang-kurangnya program ini dapat membantu mereka,” katanya yang merupakan pensyarah di sebuah kolej swasta.

Sementara itu, seorang peserta, Cek Rohani Talib, 44, berkata program yang dianjurkan ini banyak memberi manfaat kepadanya selain dapat mengisi masa lapang, ia mampu menjana pendapatan dan meringankan beban suaminya dalam menyara keluarga.

“Kami tidak mengeluar modal, malah diberi kelas 2 kali seminggu bagi belajar menjahit dan Bahasa Inggeris oleh Cikgu Nik dan rakan-rakannya,” katanya .

Katanya setakat ini, beliau mampu memperolehi pendapatan antara RM300 hingga RM350 sebulan dengan menjual produk yang dihasilkannya.

Orang ramai yang berminat untuk membeli hasil kraftangan yang dihasilkan boleh mengikuti laman Facebook dan Instagram UmieAktif untuk melihat produk dan urusan jual beli.

Facebook: https://www.facebook.com/UmieAktif/

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.