

Menurut BBC News, Mastanamma, 106 tahun, mempamer bakat memasak di ruang terbuka menggunakan peralatan memasak yang sangat terhad.
Beliau juga menunjukkan pelbagai jenis masakan tradisional selatan India sekali gus menjadi diva masakan Youtube, saluran Country Foods.
Daripada sayur-sayuran, kekacang, ikan dan udang, telur, nasi dan roti, serta masakan signatur beliau “kari ayam dalam buah tembikai”, nenek ini masak main campak sahaja.
Beliau juga mengopek dan mengupas bahan masakan seperti bawang dan halia menggunakan kuku dan tangan sebelum dipotong dengan pisau zaman dahulu.
“Ini sahaja peralatan masakan saya. Cukup dengan yang ini,” katanya dalam bahasa Telegu kepada wartawan BBC News.
Bagaimanapun, nenek ini bukanlah pengendali mahupun mahir dalam hal berkaitan internet apatah lagi Youtube.
Country Foods dikendalikan oleh 2 rakan, Laxman Karre dan Srinath Reddy yang juga sekampung dengan Mastanamma di wilayah Guntur, Andhra Pradesh.
“Pada 2016 kami perkenalkan Country Foods, memberi panduan resepi yang mudah dimasak, namun ia tidak begitu berjaya. Selepas 5 bulan, kami terserempak dengan nenek Mastanamma, merakam gaya memasaknya yang agak kuno menggunakan resepi tradisional.
“Tak disangka, video itu menerima respon positif. Semua orang menyukai nenek Mastanamma,” kata Laxman.
Sejak itu, Youtube Country Food mula dikenali bukan sahaja di sekitar Andra Pradesh malah seluruh dunia sehingga ada yang mahu melawat nenek Mastanamma.
“Rakaman dibuat di luar rumah, ia memang tempat nenek itu memasak. Persekitaran yang menghijau, asli dan kepakaran nenek Mastanamma mengendalikan dapur menjadi tarikan video ini.
“Dia sangat rajin dan aktif. Tetapi tidak tahu mengenai laman Youtube ini. Kami akan belikan semua bahan yang diperlukan untuk memasak. Kari terung adalah makanan kegemaran kami,” kata kedua-dua jejaka itu.
Jadi, kalau nak resepi masakan selatan India tradisional ala kampung, jom layari Youtube nenek Mastanamma di Country Foods!