

Bagaimanapun, kek kedua yang dibawa turun menggunakan tali dari atas pentas, turut tergelongsor jatuh menyebabkan ada guru terduduk lantas tergamam dan kecewa melihatnya.
Namun semua itu hanyalah gimik apabila tiba-tiba, sebuah kek ‘Red Velvet & Cream Cheese’ setinggi 3 tingkat dibawa masuk ke dewan, sekali gus mengubah suasana dewan yang suram sebentar kepada ceria.
Pelajar yang menguruskan majlis tersebut, Faqris Aqasha Shahlan, 17, berkata ia merupakan rancangan pelajar tingkatan 5 Semesti sejak sebulan lepas sebagai kejutan buat semua guru mereka sempena sambutan hari guru.
“Ini merupakan idea kami bersama ibu bapa pelajar sekolah ini untuk mengenakan gurauan kepada cikgu dengan menjadikan acara kemuncak memotong kek bertukar kepada suasana kelam-kabut apabila kek terjatuh.
“Kami tidak sangka gurauan itu menjadi hingga ada guru terduduk dan termenung melihat kek pemberian kami terjatuh sedangkan itu adalah kek palsu,” katanya sambil menambah ia memberikan kelainan dan kenangan manis buat guru mereka sempena hari penuh bermakna ini.
Bagi Guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Masitah Ismail pula berkata, beliau dan guru lain tidak menyangka sambutan hari guru kali ini membawa kelainan yang begitu meriah kepada mereka.
Sebaik melihat sekumpulan pelajar menolak kek 3 tingkat masuk ke dalam dewan, barulah semua guru bertepuk tangan dan yakin kek ketiga yang dibawa masuk itu adalah kek yang sebenarnya.
“Tetapi kali ini kami pula kenakan mereka sebab dah 2 kali kek jatuh jadi kami ambil kek 3 tingkat tersebut dan cuba telangkupkan supaya ia jatuh. Semua pelajar menjerit cakap jangan, dan ia kenangan terindah saya sepanjang 16 tahun mengajar di Semesti, terima kasih saya ucapkan,” katanya.
Sementara itu, ibu pelajar, Ziana Ellieza Darus, 40, berkata sambutan melibatkan kek berkenaan merupakan inisiatif ibu bapa pelajar tingkatan 1 yang bersetuju memberi kejutan buat guru dengan bentuk kek.
“Semua bersetuju dan mengadakan kutipan wang untuk menyediakan kek 3 tingkat bagi guru, sebiji kek Chocolate Moist seberat 35 kilogram berbentuk papan hitam untuk pelajar dan 300 kek cawan,” katanya yang juga bertanggungjawab menyediakan kek tersebut bersama 2 rakannya, Ummi Rahil Rasli dan Nur Aini Hasyah Mohd Rosly.
Antara lain, aksi guru berpakaian seperti pasangan kembar dan acara sukaneka turut mewarnai sambutan hari guru Semesti di sini bersama 560 pelajar sekolah tersebut.