
“Jijiknya ruang dapur, lantai tandas licin berbau pulak tu. Hmm, warna mangkuk tandas, tak payah ceritalah.Okay, saya bukan ‘house-mate’ yang boleh bertoleransi dengan semua ini. Dah pernah kena sekali cukuplah.”
Demikian kata seorang rakan, mengimbas lawatannya ke sebuah pangsapuri di Cheras 2 minggu lalu.
Dia sedang mencari rumah kerana tidak tahan dengan sikap pengotor teman serumah. Malangnya, kebanyakan rumah yang dilawat, 2 kali 5 sahaja.
“Sekurang-kurangnya, rumah saya sekarang tak seteruk apartment yang baru saya lihat. Pun begitu saya tak tahan perangai teman rumah yang berat punggung buang sampah di tong besar di tingkat bawah,” katanya lagi.
Biasanya apabila tinggal serumah bersama beberapa orang teman, kita bahagikan bilik dan bilik air dan menjadi tanggungjawab sendiri untuk dijaga. Kalau kena kongsi, kita akan buat jadual untuk membersihkannya.
Masalahnya apabila ada yang “skip” jadual, ambil lewa tanggungjawab dan enggan buat kerja.
“Saya marah bila sampah yang terkumpul tak terbuang dengan alasan ‘tak banyak’. Atau tak mop rumah sebab masih bersih, tak sapu sebab takde habuk,” tambahnya yang enggan dinamakan.
Teringat pula kepada kisah seorang pemilik rumah yang terkejut melihat rumahnya yang dalam keadaan tunggang-langgang akibat perbuatan penyewa rumah yang merupakan beberapa orang gadis.
Bilik dapur busuk kerana makanan yang ditinggalkan basi selama beberapa hari selain sinki penuh dengan pinggan mangkuk kotor yang tidak dicuci.
Di atas dapur ada kuali dengan mi goreng yang sudah berulat, susu tin terbuka, Milo berterabur atas kabinet, minyak dan kicap tertumpah atas lantai, bak kata macam tong sampah satu dapur!
Lalat dan lipas, tak payah cakap sampai jiran sebelah pun sudah mula mengadu. Sebenarnya, pemilik rumah pun dapat tahu mengenai masalah yang memeranjatkan itu selepas diadu jiran mengenai masalah lipas dan tikus yang semakin menjadi-jadi.
Okay kembali kepada kisah rakan saya, pelik juga bila segelintir yang mempunyai masalah menjaga kebersihan, masalah yang agak serius bagi saya.
Kalau nak beri alasan rumah sewa, anda juga duduk di sana, takkan sedia hadap ulat dan tikus dan lipas setiap hari?
Jangan stereotaip masalah ini sebagai masalah lelaki sahaja, walhal pada zaman ini kedua-dua wanita dan lelaki juga bermasalah dalam hal ini.
Jangan muka sahaja cantik dengan solekan 3 inci, badan harum guna wangian berjenama dan berpakaian cantik, bila melawat rumah, semua hancur berkecai.