
Satu klip video dari Facebook Projek Mega menampilkan penyanyi Datuk Hattan bersama seorang penyanyi tempatan berbangsa India, Shobha Janardanan berduet bagi lagu yang menggabungkan elemen Rock dan Raaga (muzik dalam Bahasa Tamil) sedang tular di laman sosial.Projek Mega yang menjadi platform kepada kandungan eksperimental dan terbuka kepada idea kreatif ketika dihubungi FMT Ohsem berkata, klip video tersebut adalah hasil kajian seni antara-budaya bagi program signatur mereka, Rockanova.
Rockanova ialah program pencarian bakat baharu bagi aliran muzik rock bertujuan mencungkil bakat penyanyi rock secara solo terbitan Astro.
“Klip video itu adalah hasil eksperimen kandungan yang diwujudkan oleh krew unit pembangunan kandungan boleh mencapai lebih ramai pecinta muzik,” kata Namanzee Harris yang memimpin projek itu.
Lagu popular nyanyian Hattan, Biso Bonar (2013), yang menggunakan dialek Negeri Sembilan kini tampil dengan versi baharu gandingan berduet dengan Shoba.
“Seiring dengan progam Rockanova, Hattan selaku guru vokal, apa lagi kelainan yang boleh diketengah dalam menyatukan rakyat Malaysia di bawah payung muzik,” tambahnya lagi.
Selain Namanzee turut terlibat dalam pembikinan ini ialah krew dari Unit Inovasi dan Strategi Kandungan Astro (Bahasa Melayu) iaitu, Akta Rahmat selaku penerbit utama, Basirun Othman dan Raizal Yusop Affendy selaku penerbit, Hakim Amir Nazri selaku penyelidik dan Shobha selaku penyanyi.
Krew ini turut disertai Zaid Taufik dan Amirrul Ariff dalam pembikinan video.
Tidak pasti jika lagu ini akan ditayangkan dalam program Rocknova, Namanzee berkata ia akan dimainkan sebagai sebahagian daripada kandungan konsert Hattan.
“Ia agak sukar untuk mencapai peminat hanya menerusi saluran televisyen, jadi kami mahu gunakan medium internet untuk mengembangkan klip video mencapai penonton di luar daripada kandungan televisyen,” tambahnya.
Bagi Shobha, dia sangat teruja untuk melihat respon peminat khususnya di media sosial yang sudah pun memberi komen positif selain berkongsi klip video itu.
“Ia sesuatu yang hebat untuk melihat rakyat bersatu kerana satu lagu,” kata graduan ijazah lanjutan Muzik India dari Universiti Madras.
Berkongsi pengalaman menyanyi dan berduet dalam kombinasi Rock, Shobha berkata cubaan itu sebenarnya penuh cabaran.
“Paling mencabar ialah sesi ‘jamming’ tanpa latihan dan secara ‘raw’. Ini namanya eksperimen.
Seluruh pasukan kami dari Unit Pembangunan Kandungan bekerja keras dalam membangun dan menghalusi konsep supaya ia diterima,” ujarnya.
Shoba seorang penyanyi Tamil professional tempatan yang terkenal menerusi lagu Anbe Aayiram Aasaigal.
https://www.facebook.com/ideaprojekmega/videos/287979871658504/