
Janganlah politikkan isu perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak bergambar dengan pelakon terkenal di India, “Superstar” Rajinikanth.Bukan kita semua tak tahu betapa perdana menteri kita seorang yang suka berswafoto. Dari bekas presiden Amerika Syarikat Barrack Obama, presiden Indonesia Jokowi, perdana menteri Singapura, Lee Hsien Loong, Raja Salman dari Arab dan ramai lagi dalam album swafoto Najib.
Najib sememangnya berhati muda.
Berswafoto dengan pemimpin dunia, seangkatan atau sepangkat dengan beliau, sama-sama orang nombor satu di negara masing-masing boleh diterima sebagai kenangan bergambar dengan ‘rakan sekerja’.
Tetapi inisiatif Najib yang sanggup melawat Rajinikanth di Poes Garden yang jauhnya sekitar 40 minit perjalanan dari lapangan terbang antarabangsa Chennai dan meluangkan masa di rumah beliau sememangnya membuatkan kita kagum.
Persoalannya, mengapa Najib sedia meluangkan masa bersua dengan Rajinikanth?
Sebelum itu, siapa Rajinikanth? Seorang pelakon yang diraikan di India dan orang berketurunan India di Malaysia, walaupun bukan semua. Kedudukan beliau selama ini tidak membawa apa-apa makna besar kepada kita selain menghiburkan kita menerusi filem hitnya.
Hubungan Rajinikanth dengan Malaysia menjadi erat selepas beliau membintangi filem Tamil, Kabali. Filem itu membawa subjek perjuangan kaum India di Malaysia, betapa mereka ditekan dan dianiaya, kebangkitan kepala gangster yang berhati mulia bernama Kabali.
Bukan kita sudah lupa mengenai segala laporan negatif di sebalik Kabali yang dikatakan memburukkan nama negara, khususnya dari segi keadilan dan terhadap kaum India sejak kemerdekaan.
Jadi mengapa Rajinikanth?
Kalau ya pun kerana Rajinikanth bakal menerima gelaran Datuk, adakah ia berkaitan dengan kerajaan Barisan Nasional atau Najib? Kita semua tahu pemberian anugerah adalah hak Yang di-Pertuan Agong, Sultan serta Yang di-Pertua Negeri. Diuar-uarkan gelaran itu bakal diberi oleh kerajaan Melaka, sekali gus menjadikan Rajinikanth sebagai duta pelancongan negeri itu. Najib pula tiada kena-mengena dengan hal ehwal tersebut.
Jadi mengapa Rajinikanth?
Malah ketika berada beberapa minggu di Malaysia ketika penggambaran filem Kabali, Najib yang dikatakan meminati pelakon itu, tidak bertemu dengan beliau. Ada beberapa laporan yang mengatakan bintang Kollywood itu amat berharap bertemu Najib selepas Deepavali, namun tiada apa yang berlaku.
Jadi mengapa Rajinikanth?
Ingat lagi pada 2013 Najib dan Barisan Nasional membawa penyanyi tular lagu Gangnam Style, Psy ke rumah terbuka Tahun Baharu Cina di Pulau Pinang (walaupun dibayar pihak lain)? Malangnya usaha itu sia-sia selepas pengundi Pualu Mutiara itu tidak termakan dengan umpan itu.
Seorang rakan berkata, “ingat tak bagaimana di India ahli politik akan menggunakan pelakon untuk mengumpan undi. Kedudukan pelakon yang berpengaruh dipercayai boleh membina kubu politik lebih kuat, dalam masa sama boleh membunuh lawannya.”
Jadi mengapa Rajinikanth? Figure out yourself! Jangan politikkan swafoto dan pertemuan itu!