
Apabila insan tersayang yang berkongsi hidup selama berdekad melalui detik sukar, sudah tentu kita tidak mahu mengalah dan cuba mencari jalan membantunya.Begitu juga Rohani Deraman yang berpengalaman luas dalam bidang penulisan. Novel ke-23 beliau lebih bersifat peribadi kerana ia mengisahkan kasih sayang terhadap suaminya, Effendy Bala Abdullah.
“Saya melalui detik sukar apabila suami berdepan masalah kesihatan sehingga kakinya terpaksa dipotong.
“Menerusi buku ini, saya mahu membelikannya kaki palsu,” demikian alasan Rohani menulis novel bertajuk Takdir Berkasih.
Pemenang Hadiah Sastera Penulis Harapan Negeri Kelantan pada Anugerah Sastera Negeri Kelantan 2015 itu berkata, ramai rakan menawarkan pelbagai bantuan termasuk dari segi kewangan, tetapi beliau enggan menerima begitu sahaja.
“Saya terharu, tapi malu menerima sumbangan itu begitu sahaja. Lalu saya karang novel ini. Saya berasa lebih bermakna kalau dapat menjual buku daripada minta derma kosong sahabat dan saudara-mara. Selagi mampu, saya akan lakukan apa sahaja demi dia (suami),” katanya.
Juara kategori Novel Dewasa pada Anugerah Sastera Johor 2016 itu menjelaskan pada mulanya jari kaki suaminya terpaksa dipotong selepas tersepak besi longkang beberapa tahun lalu.
Malang terus menimpa suaminya apabla tapak kakinya pecah 2 tahun lalu dan memerlukan masa yang lama untuk sembuh disebabkan penyakit kencing manis.
“Pada Disember 2016, dia terkena jangkitan kuman dan merebak ke tulang. Doktor terpaksa potong kakinya hingga ke bawah lutut untuk mengelak ia menular ke jantung dan paru-paru,” katanya.
Ibarat jatuh ditimpa tangga, suaminya juga perlu menjalani pembedahan katarak kerana penglihatannya semakin kabur.
“Saya mahu dia berjalan semula, walaupun tak sekuat dulu. Sebab itu saya mahu belikan dia kaki palsu.
“Oleh kerana saya tidak bekerja dan tiada simpanan yang banyak, saya memilih untuk mengarang novel dan menjualnya. Hasil jualan bolehlah digunakan untuk kaki palsu dan rawatan lain,” kata wanita itu yang pernah terpalit kontroversi royalti bagi buku teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas).
Bekas penulis sepenuh masa itu tidak bekerja sejak suaminya sakit dan kehidupan mereka terpaksa bergantung kepada hasil jualan novel.
“Novel ini bawa kisah kami sendiri, kasih sayang dan pengorbanan yang tidak pernah berbelah bagi walaupun dia dah jadi orang kelainan upaya (OKU),” katanya.
Novel setebal 128 muka surat yang dijual pada harga RM18 boleh ditempah dengan menghantar mesej atau Whatsapp di talian, 010- 5184827.