

Kerjasama itu dipercayai dapat mengembangkan industri tersebut dengan melatih dan berkongsi kepakaran permotoran dalam kalangan juruteknik supaya menjadikan mereka lebih berkelayakan dan berkemahiran.
Kepakaran teknikal dan kedudukan kewangan Autobacs yang kukuh apatah lagi sebagai sebuah syarikat antarabangsa meyakinkan TOC untuk saling berkongsi pengalaman pembelajaran yang lengkap dalam pendidikan automotif.
Mengulas mengenai perkongsian itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif TOC, Adelaine Foo berkata pihaknya teruja untuk memulakan kerjasama yang diyakini akan berjaya.
“Autobacs mempunyai latar yang kukuh dan terbukti dalam dunia automotif. Kerjasama ini pasti akan memberikan TOC peluang menetapkan standard baharu dalam melahirkan juruteknik automotif terbaik,” kata Foo.
Tambahnya, graduan TOC juga berpeluang bekerja dengan Kumpulan Autobacs di mana mereka didedahkan dengan trend terkini dunia pemotoran selain memajukan kepakaran dalam perkhidmatan selepas jualan.
Dalam pada itu, Pengarah dan Pegawai Eksekutif Kanan Autobacs, Yugo Horii juga akui berbesar hati dengan kolaborasi yang dilihat mampu menjadi serampang 2 mata.
“Kolaborasi ini akan membantu Autobacs mengembangkan perniagaan selain membantu TOC menjana kemahiran bertaraf tinggi dalam kalangan pelajar di sini,” katanya.
Jelasnya, industri permotoran sedang mengalami perubahan ketara di Jepun. Perkembangan teknologi dan pembaharuan dalam pemanduan serta sikap pengguna menyebabkan perubahan itu.
“Pasaran selepas jualan semakin mengecil di Jepun. Pengunaan kereta berubah secara drastik misalnya dengan adanya pelbagai konsep seperti kongsi kereta. Ini menyebabkan bilangan kereta kekal tetapi gaya penggunaan berubah. Autobacs tidak mahu ketinggalan dalam mengikut arus perubahan itu,” katanya.
Ekoran itu Autobacs merancang mengubah pendekatan tanpa hanya fokus kepada jualan atau perkhidmatan selepas jualan.
“Kerjasama ini adalah sebahagian daripada strategi pertumbuhan Autobacs di rantau ini. Ia akan membantu mengekalkan perkembangan berterusan jenama kami. Menerusi kerjasama ini, kami berharap dapat merekrut juruteknik yang berkelayakan untuk mengisi kekosongan jawatan di dalam rangkaian Autobacs,” kata Yugo.
Autobacs juga komited dalam menyumbang pengalaman pemanduan yang lebih selamat dan selesa kepada masyarakat Malaysia.
Autobacs mempunyai lebih 600 rangkaian stor di seluruh Jepun dan luar negara termasuk 3 di Malaysia.