
Wanita peka pada kecantikan dirinya. Salah satu elemen kewanitaan yang diutamakan kaum hawa ialah payu dara.Berbeza pula dengan seorang wanita bernama Eric Maison yang tidak mahu memiliki payu dara, malah dia pernah berharap untuk dihidap kanser payu dara supaya ia boleh dibuang terus daripada badannya.
Kini dia bukan saja tidak memiliki aset terpenting itu, malah tidak lagi bergelar wanita.
Eric, ibu kepada 5 anak mengambil keputusan mengubah jantina dan kini bergelar bapa kepada anak-anaknya.
“Saya selalu fikir seolah-olah terperangkap dalam diri wanita. Apa pun saya gembira kerana dapat menjadi apa yang saya mahukan sebenarnya. Saya gembira untuk keluar di khalayak sebagai seorang transgender,” kata Eric.
Eric bagaimanapun enggan melakukan pembedahan menukar jantina dan akui hidup dengan suaminya, Les lebih baik sekarang, malah terbaik sepanjang mereka berkahwin.
Tunggu, ini bukan satu-satunya berita mengejutkan mengenai keluarga ini, mereka ada kejutan lain.
Anak lelaki kepada Eric pula terlebih dulu menukar jantina, jadi perempuan, juga atas alasan yang sama, merasakan dirinya lebih bersifat wanita.
Corey, 15 tahun mendapat sokongan kedua-dua ibu bapanya dan menjalani rawatan hormon untuk menjadi perempuan dan dijangka menjalani pembedahan menukar jantina pada usia 18 tahun.
Kini, keluarga dari Michingan, Amerika Syarikat itu mempunyai 2 ahli keluarga yang menukar jantina menyebabkan hubungan ibu bertukar menjadi bapa dan anak lelaki jadi anak perempuan.
Selain Corey, Eric mempunyai 4 lagi anak iaitu Chelsea, 22, Kailee, 14, Ellen, 8, Willow, 6, dan Savanna, 4.
Les berkata isterinya, Eric sebelum ini seorang wanita ayu tetapi kini berubah menjadi tomboy. Menurut Les, Eric sejak dulu tidak menyukai hakikat dia mempunyai payu dara dan berambut panjang.
Manakala Corey pula dikesan mempunyai ciri wanita sejak masih kecil sehingga menjadi mangsa buli di sekolah.
Ditanya bagaimana cinta Les terhadap Eric masih kekal walaupun berubah jantina, Les berkata ia kerana dia jatuh cinta pada orangnya.

“Saya jatuh cinta dengan orangnya. Anda sudah tengok gambar dia, dia wanita yang cantik.
“Walaupun payu daranya dibuang, tetapi ia tidak mengubah apa-apa pun,” katanya dipetik daripada Daily Mail.