
Lazimnya hamper menjadi pilihan untuk dijadikan buah tangan. Namun di Besut ia seolah-olah menjadi trend apabila barangan keperluan seperti daging ayam, minyak masak dan tepung dijadikan sebagai cenderahati terutama dalam kalangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).Misalnya pada mesyuarat agung PIBG Sekolah Kebangsaan Tanah Merah di Jerteh semalam, kira-kira 300 ibu bapa masing-masing menerima bungkusan ayam daging sebagai buah tangan.
Setiausaha PIBG sekolah itu, Naharuddin Abd Majid berkata pemberian tersebut yang pertama kali dilakukan bertujuan membantu ibu bapa terutama yang berpendapatan rendah.
Sekolah Kebangsaan Nail di Kuala Besut turut melakukan perkara yang sama dengan menjadikan barangan keperluan dapur dan memasak seperti beras dan minyak masak sebagai hadiah cabutan bertuah kepada ahli PIBG.
Guru penolong kanan kokurikulum sekolah itu, Rohana Hassan berkata budaya pemberian hamper yang kadangkala meletakkan makanan tidak berkhasiat di dalamnya perlu diubah.
“Pemberian barangan keperluan akan dijadikan budaya baharu,” katanya.
PIBG SK Lubuk Kawah di Jerteh turut menyediakan barangan keperluan harian seperti kopi, garam, gula dan biskut kepada ibu bapa yang menghadiri mesyuarat agung PIBG sekolah itu.
Setiausahanya, Muhammad Noor Afiq Leza berkata pemberian sedemikian mula dilakukan tahun ini memandangkan ibu bapa murid majoritinya terdiri daripada petani yang lebih memerlukan pemberian barangan keperluan harian.
“Ibu bapa gembira menerimanya kerana ia merupakan keperluan asas kepada mereka dan mereka mencadangkan agar pemberian itu diteruskan,” katanya.