
Siapa tidak kenal Miss Malaysia World (MMW) 2016, Tatiana Kumar, jelitawan yang baru saja dilucutkan dari anugerah berprestij tersebut.Ekoran tindakan itu, Tatiana berjanji untuk mendapatkan nasihat pakar perundangan terhadap tindakan yang disifatkannya sebagai tidak wajar.
Tatiana dalam kenyataannya mengaku menerima surat perundangan dari Meridian Surf Sdn Bhd pada 3 Mac lalu memaklumkan dia melanggar perjanjian yang ditandatangani ketika mengambil bahagian dalam pertandingan MWM 2016.
Akibat pelanggaran tersebut, perjanjian dengan Meridian Surf ditamatkan dan gelarannya itu ditarik balik.Meridian Surf dimiliki Pengarah dan Pemegang Lesen MMW 2016, Datuk Anna Lin Mei Yoke yang turut mendakwa Tatiana memuatnaik status di media sosial yang disifatkan juga melanggar kod etika yang ditetapkan dalam perjanjian.
“Penamatan perjanjian dan penyingkiran anugerah itu tidak wajar kerana saya tidak pernah melanggar perjanjian mahupun mana-mana kod etika,” kata Tatiana.
Tambahnya lagi, dakwaan yang dibuat terhadapnya “palsu dan tidak boleh diterima” kerana dia mengikuti semua prosedur pertandingan.
“Saya amat kecewa dengan tuduhan ini kerana saya membawa gelaran itu dengan profesional selaku MWM 2016 sehingga kini,” petik kata Tatiana.
Memandangkan Tatiana sedang mendapatkan bantuan guaman, dia dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang kenyataan lanjut mengenai kesnya.Justeru, dia mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas sokongan yang diterima setakat ini dan berharap ia akan berterusan.
Tatiana dilapor membuat pelbagai dakwaan dan komen dalam laman sosialnya berhubung pihak pengendali MMW dan pengarahnya, Anna.
Malah Tatiana juga muatnaik status, menulis seolah-olah dia terpaksa menanggung segala persiapan ke pertandingan akhir MWM di Amerika Syarikat selain tidak disediakan peralatan untuk sesi persembahan “talent” iaitu tarian tap dance.
Bagaimanapun, Anna pula memberi reaksi yang Tatiana sendiri yang menolak menggunakan kemudahan pengangkutan yang disediakan pihak MMW dan mendapatkan penerbangan kelas perniagaannya sendiri.
Beberapa isu lain turut muncul sepanjang Tatiana terpilih hingga dia ke AS antaranya tidak diberi akses bagi laman sosial Facebook MMW 2016 yang menghalang dia memuatnaik status dan berhubung dengan peminat menggunakan saluran rasmi.
Ia menyebabkan capaian ratu cantik itu terhalang dalam kategori multimedia, salah satu kategori penting sepanjang pertandingan akhir ratu cantik tersebut.Selepas sah dilucutkan anugerah, tempatnya digantikan oleh pemenang kedua MMW 2016, Shweta Sekhon sebagai MWM 2016 yang baru.
Tatiana, wanita kacukan Malaysia-Perancis memenangi anugerah itu pada Ogos lalu dan mewakili Malaysia di peringkat akhir pada Disember lalu di Maryland, Amerika Syarikat.
https://www.facebook.com/TatianaKumarMWM2016/