

Keputusan ini hasil kajian Prudential Assurance Malaysia Berhad (PAMB) dan Prudential BSN Takaful Berhad (PBTB) menerusi indeks perhubungan yang dilancarkan buat pertama kali di Asia.
Indeks Perhubungan Prudential (PRI) 2016 mengukur tahap kepuasan individu dalam perhubungan utama mereka dan mengesyorkan langkah untuk meningkatkan perhubungan.
Lebih 5,000 temu ramah dijalankan di 10 negara di Asia, termasuk Malaysia, Kemboja, China, Hong Kong, Indonesia, Filipina, Singapura, Korea Selatan, Thailand dan Vietnam.
Di Malaysia, 605 temu bual dijalankan melalui pensampelan dalam talian dengan orang dewasa berumur 25 hingga 55 tahun.
Hasilnya, 83% rakyat Malaysia akui pasangan mereka menzahirkan kasih sayang berbanding kadar purata 76% di seluruh Asia.
Manakala 64% individu akui mereka menyatakan cinta kepada pasangan pada setiap minggu, manakala 34% berkata mereka diberitahu setiap hari.
Secara keseluruhan Malaysia berada pada kedudukan ke-5 daripada 10 negara Asia yang terlibat dalam kajian ini dengan skor indeks 71/100 mengatasi skor purata 68/100.
Ini bermakna perhubungan utama rakyat Malaysia memenuhi 71% daripada keperluan perhubungan yang mereka ingini.
Indeks hubungan itu mengaitkan hubungan antara anak, keluarga dan rakan di samping pasangan.
Ketua Pegawai Pemasaran PAMB Khoo Ai Lin berkata PRI mempamerkan gambaran perhubungan yang sihat di Malaysia, menonjolkan ciri yang menyumbang ke arah kebahagiaan serta perkara yang perlu diberi perhatian.
“Perhubungan merupakan asas perniagaan kami. Pelanggan menaruh kepercayaan kepada kami untuk memenuhi keperluan kewangan mereka melalui perhubungan jangka panjang yang kami miliki.
“PRI 2016 membolehkan kami menambah nilai kepada isu paling penting dalam kehidupan pelanggan kerana perhubungan yang kukuh menyumbang kepada kebahagiaan, kesihatan dan kesejahteraan hidup yang berpanjangan,” katanya.
Manakala, Ketua Pegawai Pemasaran PruBSN Nor Azman Zainal pula berkata PRI menunjukkan nilai sebenar perhubungan di Malaysia dan menjadi inspirasi kepada syarikat dan negara.
“Kami di PruBSN menghargai dan menganggap perhubungan dengan pelanggan sebagai pelaburan yang paling berharga. Kami sentiasa mencari jalan untuk sentiasa mendekati mereka.
“Penemuan PRI akan digunakan untuk membantu memahami pelanggan secara lebih mendalam supaya membantu mereka mewujudkan ikatan perhubungan yang lebih kukuh dan bermanfaat,” katanya.
Kajian yang sama juga mendedahkan 47% pasangan akui wang sebagai punca utama yang mengakibatkan pertengkaran antara mereka.
Indeks itu turut merekodkan anak (33%), kurang memberi perhatian (32%), dan terlalu banyak masa dihabiskan pada komputer atau telefon (31%) sebagai antara masalah lain yang dihadapi pasangan di Asia.
Daripada segi hubungan ibu bapa dan anak, rakyat Malaysia didapati lebih murah hati memberi sokongan kewangan kepada ibu bapa dan anak.
Sebanyak 69% memberikan sokongan kewangan kepada ibu bapa dan 65% yang mempunyai anak memberikan sokongan kewangan kepada mereka.
Daripada segi masa pula, 65% ibu bapa Malaysia menghargai melakukan aktiviti bersama-sama dengan anak. Mereka juga menghargai apabila anak membuat mereka ketawa atau tersenyum dalam hati.
Elemen “ketawa” juga berkait rapat dengan perhubungan baik di Malaysia.
Seramai 83% responden berkata mereka ketawa dengan pasangan mereka setiap minggu, termasuk 49% yang ketawa bersama-sama setiap hari.
Pasangan yang ketawa bersama-sama sekurang-kurangnya sekali seminggu mempunyai purata skor perhubungan sebanyak 72/100 iaitu 24 mata lebih tinggi berbanding mereka yang kurang kerap ketawa.
Sebanyak 74% responden wanita berkata ketawa ciri penting dalam diri seseorang pasangan, berbanding 59% daripada kalangan lelaki.
Daripada aspek pengurusan kewangan pasangan Malaysia cenderung menguruskan kewangan mereka secara berasingan. Ini kerana hanya 39% daripada rakyat Malaysia yang berkahwin mempunyai akaun bank bersama, dengan hanya 5% yang mempunyai hanya akaun bersama dan tiada akaun persendirian.
Walaupun memiliki akaun bank yang berasingan, 67% daripada rakyat Malaysia mengatakan mereka membuat rancangan kewangan bersama pasangan dan 77% mengatakan mereka berbincang tentang masa depan bersama.
Sokongan kewangan adalah secara muafakat, kedua-dua lelaki dan wanita yang berkahwin menerimanya daripada pasangan masing-masing.
“Perhubungan pada hari ini berdepan dengan cabaran, tekanan dan situasi yang berbeza. Globalisasi, ketidakseimbangan kerja-kehidupan, ketidaktentuan kewangan dan teknologi semuanya memberi kesan terhadap bagaimana kita berhubung, berkomunikasi dan berinteraksi antara satu sama lain.