

Ia adalah detik artis Hollywood tergamam apabila mendapat tahu berlakunya satu kesilapan besar ketika pemenang kategori filem terbaik diumumkan.
Apa yang sepatutnya menjadi detik gemilang filem Moonlight pada malam berprestij itu punah. Terdahulu, pemenang anugerah Akademi dan artis veteran, Faye Dunaway mengumumkan La La Land sebagai filem terbaik sebelum diperbetulkan oleh krew filem itu (krew La La Land or Moonlight?) selepas diberitahu pemenang sebenar.
Ketika itu krew La La Land sudahpun menaiki pentas dan menerima patung Oscar.
Detik mengejutkan itu berjaya dirakam jurugambar Los Angeles Times, Al Seib.
Gambar reaksi selebriti yang duduk terdekat dengan pentas dalam keadaan terkejut, melopong dan terpinga-pinga tular di laman sosial.
“Mata Meryl Streep yang terbuka luas dan Dwayne Johnson seperti terdengar jenaka yang dahsyat, manakala Matt Damon dan Michelle Williams melopong,” lapor Daily Mail.
“Gambar itu dirakam dalam sekelip mata, secara spontan. Kebetulan saya ditempatkan di sebelah kanan pentas, di mana patung Oscar disusun, di kanan pentas juga para pelakon akan keluar untuk memberi anugerah. Ia lokasi paling penting,” kata Seib yang merakam gambar majlis Oscar untuk LA Times selama 30 tahun.

“Mungkin kerana saya sudah lama di sini, mereka benarkan saya duduk di depan,” katanya.
Seib berkongsi bagaimana dia menjadi sebahagian daripada detik cemas di atas pentas apabila semua orang mula resah selepas menghulurkan sampul yang salah.
“Seorang lelaki dari PricewaterhouseCoopers berdiri betul-betul di sebelah saya. Mereka bercakap mengenai sampul surat. Saya sedar sesuatu telah berlaku!” kongsinya.

“Saya melihat penonton dan ada wajah terkejut. Saya rakam gambar mereka kerana ia lebih berbaloi. Kemudian saya mencari pasukan Moonlight”, tambahnya.
Seib kesal kekeliruan itu menyebabkan pasukan krew Moonlight tidak mendapat ‘limelight’ yang sepatutnya, justeru dia terlepas peluang merakam gambar terbaik mereka.
“Apapun kegembiraan terus disambut di belakang pentas dan saya dapat merakam beberapa gambar,” ujar Seib.
Kredit gambar: Los Angeles Times