
Mungkin bukan semua yang sanggup berbelanja besar pada hari ini, tetapi itulah hasil Kajian Keutamaan Pembelian Pengguna dan Indeks Kasih Sayang Mastercard yang diperolehi melalui analisis transaksi kad kredit, debit dan prabayar selama 3 tahun.
Menurut kenyataan Mastercard, kira-kira 62% rakyat Malaysia bercadang menikmati hidangan istimewa, manakala 63% pula membeli hadiah buat pasangan masing-masing.
Beberapa barangan yang menjadi pilihan hadiah Hari Valentine ialah bunga (27%), diikuti barang kemas (23%), pakaian dan barangan kulit (22%).
Ehem, nampaknya anda boleh nantikan kejutan daripada pasangan masing-masing petang nanti atau mungkin sudah pun menerima hadiah Valentine yang disebutkan di atas.
Kenyataan sama turut menyatakan rakyat negara lain di Asia Pasifik membelanjakan purata RM591 (AS$133) untuk membeli hadiah Valentine, lebih rendah daripada perbelanjaan rakyat Malaysia.
Bagaimanapun, ada 3 negara lain yang mendahului carta perbelanjaan Hari Valentine, iaitu China RM1,378 (AS$310), disusuli Hong Kong RM1,254 (AS$282) dan Taiwan RM1,205 (AS$271).
Data Asia Pasifik itu diperolehi berdasarkan Keutamaan Pembelian Pengguna bagi separuh pertama 2017, membabitkan 9,123 responden berumur 18 hingga 64 tahun di 18 pasaran seluruh rantau itu.
Walaupun ia menjadi pilihan utama ketika ini, Indeks Kasih Sayang Mastercard global tahunan ke-2 bagaimanapun meramalkan bunga mungkin tidak dapat bertahan di kedudukan pertama, tahun depan.
Ini kerana, indeks itu menunjukkan jualan bunga semakin merosot di rantau Asia Pasifik, dengan transaksi menurun 34% antara 2014 hingga 2016.