Berbasikal di tengah bandar demi alam sekitar, elak kesesakan

Berbasikal di tengah bandar demi alam sekitar, elak kesesakan

Berbasikal boleh dijadikan pengangkutan utama dalam bandar, ketika harga bahan api melambung tinggi.

basikalsewa
fmt-ohsem-inside-article1Kebanyakan bandar besar di seluruh dunia akan berdepan masalah kesesakan teruk pada waktu puncak.

Untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas dan memulihara alam sekitar, perkhidmatan sewa basikal mula muncul di bandar Can Tho, selatan Vietnam.

Agensi berita China Xinhua yang dipetik Bernama melaporkan, sebagai percubaan, perkhidmatan itu akan disediakan di kawasan tumpuan ramai, termasuk taman rekreasi dan pulau kecil buat julung kalinya.

Selepas memasukkan duit dalam mesin disediakan, pengguna akan diberikan kunci dan GPS. Mereka boleh memulangkan basikal itu di mana-mana kawasan parkir.

Amalan berbasikal bagaimanapun tidak asing di beberapa bandar besar negara lain dalam usaha mengurangkan kesesakan trafik dan kesan rumah hijau.

Antaranya Beijing, Copenhagen, Amsterdam, Portland, Montreal, Tokyo, Rio De Janeiro, Barcelona, Paris dan Dublin.

Di Malaysia, pihak berkuasa tempatan dan peniaga di destinasi pelancongan terkenal turut menyediakan pengalaman berbasikal buat penduduk serta pelancong.

Bandar paling signifikan dengan idea ini ialah Bandaraya Melaka.

Dengan berbasikal, pengguna boleh meneroka sekitar bandar raya itu mahupun lokasi terpencil dan ia adalah alternatif paling bijak, memandangkan bandar raya itu semakin sesak sekarang.

Tanpa perlu risau kenaikan harga minyak, pengguna boleh menyewa basikal pada kadar RM10 sejam. Mahal atau murah, kami serahkan kepada pembaca untuk menilainya.

Bagi memperluaskan inisiatif itu, kerajaan negeri turut menyediakan kemudahan lain seperti laluan basikal untuk keselamatan dan keselesaan pengguna.

Selain Melaka, tahukah inisiatif berbasikal turut dilaksanakan di Kuala Lumpur.

Antaranya program “KL Pagi Bebas Kenderaan” anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang diadakan pada Ahad pertama dan ke-3 setiap bulan dengan sokongan Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (MNCF) dan OCBC Bank.

Program itu bertujuan menggalakkan warga kota melakukan aktiviti riadah seperti berjogging dan berbasikal demi kesihatan. Ia bermula 7 pagi hingga 9 pagi membabitkan penutupan jalan sejauh 7km dari Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Dang Wangi, Jalan Ampang dan Jalan P Ramlee.

Selain itu, DBKL turut menyediakan laluan basikal, walaupun tidak lengkap, tetapi sekurang-kurangnya infrastruktur itu ada, demi keselamatan pengayuh.

Sebenarnya, Malaysia ada banyak lagi lokasi mesra pengayuh basikal, cuma ramai yang tidak perasan atau ambil tahu mengenai nya.

Universiti Putra Malaysia (UPM) misalnya, memberi rebat kepada pelajarnya untuk memiliki basikal melalui bayaran ansuran setiap semester. Melalui cara ini, warga kampus boleh berbasikal dan berjimat sambil menjaga kesihatan mereka.

Tidak terkecuali inisiatif Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang membelanjakan berjuta ringgit untuk membina laluan basikal. Hakikatnya, usaha ini bermula agak awal di negeri itu.

Tahun lalu, Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed mencadangkan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) membina lorong khusus untuk pengayuh basikal di jalan utama sekitar bandar itu.

Putrajaya sebenarnya juga mempunyai laluan basikal dan agak “cool” kalau dapat melihat lelaki berkemeja, berseluar “slack” atau mungkin memakai kot dan tali leher menunggang basikal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.