
Tindakan mengejar kecantikan dan kesihatan secara membuta tuli tanpa mengkaji kandungan bahan dalam produk, ubat dan makanan tambahan atau suplemen mungkin mendatangkan kesan sampingan.
Ini kerana, Kementerian Kesihatan melalui Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan, Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) mengumumkan senarai 162 produk yang mengandungi bahan terlarang atau dicampur racun berjadual.
Antara produk itu ialah produk kecantikan dan kesihatan – dalam bentuk makanan, minuman serta kosmetik.
NPRA menasihatkan orang ramai tidak membeli dan berhenti menggunakan produk terbabit, manakala peniaga pula perlu menghentikan penjualan produk itu serta-merta.
NPRA turut menyarankan pengguna produk terbabit segera mendapatkan nasihat serta rawatan daripada doktor, jika perlu.