
Anda percaya pada keajaiban?Sepasang ibu bapa di Britain tidak menyangka kedua-dua anak mereka yang dilahirkan pada hari ke-165 dalam tempoh kehamilan hidup seperti mana bayi normal yang lain.
Kembar bernama Annabelle dan Imogen menjadi kembar yang paling awal dilahirkan dalam sejarah dan mempunyai tubuh yang terlalu halus dan “mudah koyak”.
Ibu bapa mereka, Claire dan James Weir bersedia menghadapi apa sahaja kemungkinan apabila anak mereka dilahirkan April tahun lalu, termasuk mengucapkan selamat tinggal.
“Semasa dalam kandungan, saya cuba menjaga mereka sebaik yang mungkin. Ia fasa yang penuh cabaran. Saya tidak bergerak banyak, saya bimbang untuk ke tandas.
“Selepas minggu ke-23, pakar menyokong kelahiran bayi kami. Ini kerana pada usia itu mereka ada peluang untuk mendapatkan bantuan pernafasan. Setiap hari membawa lebih banyak harapan,” kata si ibu, Claire.
Pasangan ini tidak mempunyai sejarah kembar dalam keluarga mereka. Sejak mengandungkan Annabelle dan Imogen, Claire asyik berdarah, namun doktor mengesahkan dengupan jantung bayi dalam keadaan baik.
Pada minggu ke-22, air ketuban Claie pecah dan menyebabkan kelahiran terpaksa dipercepatkan.
“Saya mahu mengandungkan mereka selama yang mungkin tetapi jangkitan pada sepsis menyebabkan saya di induce.
Pada awal pagi, 3 April tahun lepas, Annabelle dilahirkan dahulu, beratnya cuma 0.44kg. Sepuluh minit kemudian Imogen tiba dengan berat 0.68kg.
Mereka berada dalam keadaan yang amat halus tetapi jantung kecil mereka berdegup.
“Mereka begitu kecil, muat dalam satu tapak tangan. Kaki Annabelle kira-kira saiz kuku James. Mereka tidak membuka mata atau menangis untuk beberapa minggu. Mereka tidak boleh memakai pakaian untuk 100 hari, hanya lampin dan topi. Kulit mereka terlalu halus. Doktor khuatir pakaian boleh mengoyakkan kulit.
“Saya tidak berdaya. Ada apa-apa yang saya boleh lakukan untuk memastikan mereka hidup? Saya berserah pada mesin. Satu perkara yang saya boleh lakukan adalah memerah susu, memberi mereka makan menggunakan tiub melalui hidung mereka,” kata ibu ini.
Annabelle dan Imogen disimpan dalam inkubator dengan ventilator tekanan positif dan udara pernafasan yang lembut selama 6 minggu.
Mereka juga diberi kafein sebarang perangsang pernafasan.
Oksigen disalurkan melalui tiub hidung tetapi doktor berharap mereka akan dapat bernafas dengan sendiri.
Dalam pemerhatian hospital, Annabelle pernah mengalami masalah perut, manakala Imogen terpaksa menjalani pembedahan mata, tetapi semuanya berjalan baik.
Segalanya berakhir positif apabila Imogen dibenarkan dibawa pulang beberapa minggu sebelum Annabelle.
“Ia benar-benar sukar bagi kami. Saya tidak tidur kira-kira 3 hari. Saya melihat mereka sepanjang masa untuk memastikan masih bernafas.
“James suami dan bapa yang menakjubkan, saya tidak dapat melakukannya tanpa dia. Apabila Annabelle pulang ke rumah, selepas 138 hari di hospital, kami lebih daripada bersedia,” kata Claire.
Claire menyifatkan pengalaman itu sebagai menakutkan dan bersyukur akhirnya menjadi indah.
“Kami tahu betapa bertuahnya kami,” kata pasangan ini.
Kini, mereka sekluarga melangkah ke depan dengan harapan baharu.
Pasangan itu begitu menghargai penjagaan ‘luar biasa’ yang diberikan Hospital Bersalin Puteri Raja di Glasgow Scotland dan Tabung Bayi Puteri Raja.
“Kalau bayi ini lahir 2 tahun dahulu, mereka mungkin sukar diselamatkan. Teknologi semasa membantu bayi ini hidup,” kata jurucakap hospital.