
Elia Izzati Zulhisham pada awalnya bercuti 8 bulan daripada pengajiannya di United Kingdom. Tetapi ia bakal mengubah haluannya, daripada seorang yang bakal menceburi bidang perakaunan, kepada usahawan sebuah butik yang kini memasarkan pelbagai jenama dalam dan luar negara.
Elia, 28, bagaimanapun tidak menyesal, walaupun percaya masih ada peluang meneruskan pengajian.
Tiga tahun lepas, Elia perlu membuat pilihan, sama ada meneruskan pengajian, atau “do the right thing at the right time” (melakukan perkara betul pada masa yang tepat).
Semuanya bermula ketika beliau menjual tudung dalam talian secara suka-suka, mengisi masa selepas tamat pengajian ijazah.
Twenty2, butik berkonsep pakaian Muslimah yang terletak di Lorong Maarof, Bangsar memasarkan lebih 140 jenama termasuk dari Indonesia, Singapura dan Brunei, seperti Locka RTW, Shopmosphere, Gobok by Farahaneem, Adores.KL, Samantha Sherina by Thian dan Juwita.

Ia turut memiliki jenama tersendiri, Dua. Elia juga merupakan pemilik tempatan label Kami Idea dari Indonesia.
Selalunya Bangsar mengundang persepsi orang berada. Tetapi butik Elia, walaupun di lokasi ekslusif pinggir bandar raya ini, agak istimewa.
Twenty2 menyediakan pakaian bertaraf 5 bintang tetapi pada harga berpatutan, dengan permulaan harga tidak lebih RM100.
“Kami cater untuk kelas pertengahan dan atas. Lazimnya di kawasan ini ia lebih kepada kelas atasan. Itu bezanya kami. Selain itu, Twenty2 juga memenuhi citarasa semua orang yang meminati pakaian konsep Muslimah yang trendy,” katanya.
Mengekalkan identitinya sebagai pakaian Muslimah, kedainya turut menarik minat pelanggan bukan Islam.
“Semua pakaian yang dijual di sini dipastikan menutup aurat atau boleh di mix and match dengan cara demikian. Potongan, reka bentuk, warna dan keunikan menjadikan ia menonjol dalam kalangan pelanggannya,” tambah Elia.
Elia meneliti setiap rekaan yang dijual supaya ia bukan fesyen berulang, serupa atau tidak sesuai dengan cita rasa tempatan.
Tambahan pula, wanita ini juga tidak kekok berkongsi idea dan cadangan dengan pereka khususnya mereka yang masih baharu dalam memberi input mengenai citarasa pelanggan.

“Cabaran kami selain persaingan dalam kalangan pemain industri fesyen ialah untuk mengekalkan momentum stok. Ada jenama yang slowdown justeru tidak dapat menyediakan stok baharu, ada jenama yang hanya keluarkan stok secara bulanan. Jadi Twenty2 kena atur supaya setiap minggu ada produk fesyen baharu untuk pelanggan,” jelasnya.
Mengenai cabaran keadaan ekonomi semasa, Elia akui ia turut memberi kesan.
“Namun kalau dibandingkan dengan jualan Raya tahun lepas dan tahun ini, ia meningkat,” katanya lagi.
“Kami akan memastikan semua produk baharu dikemaskini dalam akaun Instagram. Selain laman sosial itu, kami juga baru membuka Facebook untuk terus berhubungan dengan pelanggan,” kata Elia.

Twenty2 kini mempunyai lebih 95,000 orang peminat dalam akaun Instagram.
Selain pakaian, ia juga menjual aksesori wanita, buku agama, bahan solekan dan penjagaan badan.
Menariknya, Twenty2 kini melangsungkan jualan hujung tahun sehingga 1 Januari 2017, dengan diskaun sehingga 70%, di samping peraduan yang menyediakan 60 jenis hadiah bernilai RM15,000 seperti sesi urutan, baucer beli-belah, menicure dan pedicure sehingga 10 Januari ini.
Kerana ayah, Elia berniaga tanpa risiko
Bibirnya tidak jemu-jemu berterima kasih kepada bapanya, Zulhisham.
“Sebagai seorang ahli perniagaan, ayah tahu selok-belok niaga. Walaupun saya berniaga fesyen, tetapi aturan niaganya sama. Dari segi sumber manusia, penyediaan akaun, psikologi pelanggan, membuat perjanjian niaga dan sebagainya dibimbing ayah,” katanya yang sudah mendirikan rumah tangga.
Twenty2 tidak mungkin berkembang sehingga tahap ini dalam tempoh singkat tanpa bantuan ayahnya.

“Di samping bantuan kewangan, ayah banyak meluangkan masa. Dia sentiasa ada ketika saya memerlukan beliau.”
Elia berkata, butiknya dinamakan Twenty2 kerana nama itu mudah diingati.
“Saya tak mahu pening fikir nama yang kompleks atau terlalu unik. Nama yang dipilih kena catchy dan mudah.
“Kebetulan 22 adalah tarikh hari jadi suami, ayah, nombor unit ini dan tarikh kami buat perjanjian kedai juga pada tarikh 22 hari bulan,” ujar Elia.
Pelbagai pilihan hijab
Bercakap mengenai jenama in-house Twenty2, Dua, ia menawarkan pilihan hijab yang menggunakan kain lace atau renda.

“Tiap kali saya berjalan, saya cuba menjelajah dan mengkaji jenis kain yang sesuai untuk dijadikan hijab. Saya rasa kain renda ini sangat cantik dan unik. Saya ubah suai ikut kesesuaian,” katanya sambil menunjukkan beberapa helai hijab renda kosong dan bermanik.
Tambahan, Twenty2 turut menjual pakaian “Kami Idea” yang merupakan antara 5 jenama terkenal di Indonesia.
Keistimewaan jenama ini ialah elemen cetakan pada kain dan koleksi baju, skirt, seluar serta tudung yang dikatakan terlaris pada jualan Hari Raya lalu.
Instagram : TWENTY2