

Ia dikatakan berpunca daripada gaya hidup sejak kanak-kanak dan pengaruh gajet yang menjadi pengganti kepada kehidupan.
Nampaknya, kita sudahpun berada di kemuncak apabila komuniti di sekeliling didapati semakin cenderung “menikmati” dan “berseronok” dengan kesengsaraan serta kerakusan yang memberi kesan mendalam kepada kehidupan orang lain.
Gambar yang diketegorikan sebagai “tidak sesuai” tersebar secara berleluasa tanpa rasa bersalah kepada pelakunya.
Pelik dan risau dengan sikap serta psikologi pengguna telefon pintar masa sekarang, bagaimana mereka “berselera” dengan gambar sebegitu yang dahulunya dianggap jijik, memualkan, kasihan atau ngeri?
Nampaknya begitulah…
Baru-baru ini tersebar di media sosial 2 keping gambar yang kononnya seorang remaja perempuan membunuh diri dengan bantuan teman lelakinya kerana cemburu dengan kejayaan rakan sekolah yang memperoleh keputusan cemerlang dalam PT3.
Gambar pertama, memaparkan aksi gembira remaja perempuan yang memperoleh semua “A” dalam keputusan PT3.
Gambar ke-2 pula, mayat perempuan sudah kembung, dipercayai badan diikat dengan batu sebelum dicampak ke dalam sungai.
Kronologi kisah itu dipercayai ramai netizen. Peliknya, bukankah kita mempunyai otak dan boleh berfikir? Nampaknya sejak teknologi mengambil alih dunia, otak kita sama ada berhenti berfungsi atau sudah rosak.
“Fikirlah sendiri, kalau bersaing dengan pelajar cemerlang takkan budak tu bodoh sangat sampai sanggup bunuh diri. Dan teman lelaki mana yang akan bantu teman wanitanya bunuh diri?” reaksi seorang rakan ketika ditanya. Dia turut mengesahkan berita itu sebagai palsu dan meminta tidak disebarkan.
Namun, sekali sudah berada di laman sosial, ia seperti tidak terkawal dan terus merebak.
Sehari selepas pelajar perempuan membuat penafian terlibat dengan kejadian bunuh diri itu, gambar pekerja asing maut selepas sebahagian badannya digilis dalam mesin penghapus kertas/kotak pula tersebar.
Sambil menikmati makan tengah hari, rakan saya menunjukkan gambar daging manusia yang hancur berkecai dalam mesin itu.
Mereka selamba berkongsi seawal pagi, mungkin paparan pertama sebaik membuka mata.
Nampaknya perkara itu bukan lagi menjadi sensitiviti masyarakat.
Kalau “seronok” dan “teruja” sangat berkongsi gambar sedemikian, maka benarlah kata CAP mengenai status psikologi masyarakat Malaysia.