
Malaysian Indian Cine Awards (Mica) tampil menganjurkan anugerah yang paling berprestij untuk penggiat seni Tamil di Malaysia sekali gus percaya bakal menetapkan tanda aras kepada acara sedemikian pada masa depan.
Mica, menyasarkan untuk mengiktiraf filem dan hasil seni Tamil terbaik ditayangkan sepanjang 2015 dalam arena tempatan dalam satu acara anugerah yang berbeza.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Mica RG Naidu berkata pengalaman lalu mengajar pihaknya untuk jadi lebih teliti dan jelas dalam mengatur langkah.
“Kami berdepan pelbagai masalah tetapi dengan sokongan daripada artis sendiri, kami percaya ia dapat dijayakan dan diteruskan” katanya.
Beliau berkata ini acara anugerah yang melibatkan proses sebenar termasuk senarai pencalonan, senarai pendek, penglibatan juri, undi orang ramai hinggalah ke acara kemuncak kelak.
“Kami disokong 16 badan bukan kerajaan (NGO) seni dan perfileman Tamil Malaysia selain Finas. Oleh itu ia akan dijayakan secara sempurna dan lebih matang,” katanya.
Pengarah kreatif dan anugerah, S.Vijaya Rani pula berkata masalah asas yang dihadapi ialah memujuk penggiat seni dan peminat filem mengenai acara tersebut dan akhirnya mengembangkan kapasitinya.
“Sejak ia mula diwujudkan, kami berdepan pelbagai masalah termasuk kerjasama daripada mereka yang terlibat dalam industri ini,” kata Vijaya.
Katanya, ramai yang tampil menunjukkan sokongan apabila nama mereka dicalonkan dan segelintir menarik muka selepas nama tidak disenarai pendek dalam pencalonan akhir.
“Ini menunjukkan mereka kurang profesional dan bertindak ikut hati. Mungkin kerana tiada pendedahan terhadap format sebenar acara seperti ini. Ya, segolongan kecil ini tidak dapat menerima hakikat,” katanya.
Bagaimanapun, Vijaya berterima kasih kepada artis yang bukan saja bekerjasama memberi sokongan malah turut menyertai klip video, shout out dan promo bergambar secara sukarela.

“Kami terpaksa menjelaskan kriteria tersebut. Berlakon satu atau 2 babak tidak boleh diambil kira sebagai pelakon pembantu.
“Berlaku juga masalah dalam kalangan penerbit dan pengarah untuk memberi kredit kepada pelakon masing-masing. Memandangkan ia anugerah bagi filem 2015, wujud kesukaran mengumpul krew masing-masing,” kata Naidu.
Pelakon Jasmine Michael yang turut bertindak sebagai pengarah pemasaran dan publisiti juga mengingatkan mengenai undian dalam talian yang akan tamat hari ini (19 Disember) tepat jam 12 tengah malam nanti.
“Segera lawat laman web micaawards.com dan jangan lupa mengundi pilihan khas Hotlink,” katanya.
Maklumat mengenai tiket yang dijual pada harga RM50, RM100, RM500 untuk acara ini juga boleh diperoleh dalam laman web yang sama.
Malam Anugerah Mica dijangka berlangsung pada 23 Disember ini di IRDK Mall, Seksyen 16, Shah Alam pukul 6 petang.
Acara karpet merah ini akan membabitkan anugerah bagi filem, telefilem dan filem pendek yang ditayangkan sepanjang 2015. Berikut ialah pecahan anugerah:
21 anugerah filem: Filem terbaik, pelakon lelaki dan wanita terbaik, pelakon pembantu terbaik, pelakon baharu terbaik, watak antagonis terbaik, penulis lirik terbaik, pengarah muzik terbaik, pengarah terbaik, bunyi latar terbaik, penyanyi terbaik, lagu terbaik, penyunting terbaik, jurukamera terbaik, pengarah seni terbaik dan jurusolek terbaik.
5 anugerah filem pendek: Filem pendek terbaik, pelakon lelaki dan wanita terbaik, pengarah terbaik, jurukamera terbaik.
3 anugerah popular: Filem paling popular, pelakon lelaki dan wanita paling popular (Hotlink).