
Sebuah buku panduan mengenai sektor eko-pelancongan di Selangor dijangka dapat membantu membimbing dan mempromosi industri tersebut di negeri itu.Tourism Selangor Sdn Bhd (Tourism Selangor) dengan kerjasama pakar ekologi, Goh Yong Chuan dan pendidik sosial, Chuang Baiqi, tampil menghasilkan sebuah buku mengenai tarikan alam semulajadi di Selangor.
Buku “Terokai Kehijauan Selangor” dilancarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor, Elizabeth Wong di sebuah hotel di Shah Alam.
“Selangor mempunyai pelbagai tarikan ekologi. Sudah tiba masanya untuk kita mendidik dan menyokong sektor eko-pelancongan dengan kesedaran untuk melindungi alam sekitar. Ia adalah masa depan yang perlu dipulihara oleh semua orang, ” kata Wong.
Eko-pelancongan popular pada masa kini di seluruh dunia, namun sektor itu menghadapi kesukaran berkembang berikutan kekurangan bahan promosi bantuan.
Buku “Terokai Kehijauan Selangor” bertujuan memenuhi kekosongan itu, dan bertujuan menjadi rujukan sejajar dengan harat kerajaan merancakkan industri pelancongan berlandaskan keindahan alam semulajadi.
Antara lokasi yang ditampilkan ialah Kuala Selangor, Sekinchan dan Sabak Bernam yang kaya dengan kepelbagaian kehidupan bio dan eko-sistem.
Buku yang diterbitkan dalam Bahasa Melayu dan Mandarin ini menceritakan pengalaman penerokaan dan senario sebenar yang dilalui Yong Chuan dan Chuang sepanjang pengembaraan mereka. Versi bahasa Inggeris akan diterbitkan pada Januari 2017.

Kementerian Pelancongan dengan kerjasama Tourism Selangor giat mempromosikan pelancongan bandar tahap 2, seperti Sekinchan di daerah Sabak Bernam, sebuah perkampungan nelayan yang terkenal dengan sawah padi yang luas.
“Kawasan ini memiliki sawah padi dengan sistem pengairan yang teratur, menjadi pengeluar beras utama di negara. Oleh itu, ia bukan sahaja menjadi destinasi pilihan pelancong tempatan tetapi turut menarik perhatian pelancong asing. Memandangkan itu, adalah wajar untuk kita merekod dan mengembangkan capaiannya kepada orang ramai menerusi sumber bacaan seperti buku ini,” menurut kenyataan Tourism Selangor.
Eko-pelancongan antara lain menekankan perlindungan dan keseimbangan alam sekitar khususnya mengenai ekologi, pendidikan, penjagaan dan perlindungan.
“Tourism Selangor amat berbangga menjadi sebahagian daripada buku pertama seumpamanya di Selangor. Kami menyokong eko-pelancongan dan mempromosikan lokasi mesra alam di negeri ini.
“Buku ini menyenarai dan berkongsi tarikan ekologi terbaik di Selangor dan mendidik orang ramai mengenai ekologi dan bagaimana untuk melindunginya,” kata Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din.
Buku “Terokai Kehijauan Selangor” boleh didapati di semua kedai buku utama di seluruh negara.