Teh o ais RM4, apa patut dilakukan pengguna?

Teh o ais RM4, apa patut dilakukan pengguna?

Seorang pemilik kafe dihadapkan ke mahkamah selepas didapati menjual segelas teh o ais pada harga RM4.

teh
fmt-ohsem-inside-article1Jika anda berdepan mana-mana peniaga yang sengaja menaikkan harga sesuka hati, jangan tunggu, terus lapor pada pihak berkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Ini kerana pelbagai akta dan peraturan diperkenalkan kerajaan untuk menangani golongan peniaga yang tidak bertanggungjawab dengan memanipulasi harga barang bagi meraih keuntungan berlipat ganda.

Salah satu akta yang terlibat dalam isu ini ialah skim kawalan harga Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang diperkenalkan pada 1 April 2011 dan pindaan 2014 yang berkuat kuasa pada 1 September 2014.

Menurut Seksyen 14(2) akta itu, mencatut bermaksud meraih keuntungan tinggi yang tidak munasabah dan akta tersebut digubal menggantikan Akta Kawalan Harga 1946 dengan menambah elemen mencatut.

Menerusi elemen ‘antipencatutan’, tindakan boleh diambil terhadap peniaga yang tamak mengaut keuntungan secara berlebihan pada bila-bila masa sahaja dan ia meliputi semua barang mahupun perkhidmatan.

Baru-baru ini, seorang pemilik kafe dihadapkan ke mahkamah selepas didapati menjual segelas teh o ais pada harga RM4.

Pemilik Restoran Ozarah Cafe di Kota Bharu, Jessica Choo Kim yang menaikkan harga minuman itu daripada RM2.80 kepada RM4 menyebabkan dia didenda RM8,000 kerana tidak mematuhi Peraturan 3(1) Peraturan Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2014.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Adli Abdul Ghalib atas kesalahan mencatut.

Menurut laporan Astro Awani, tertuduh seorang wanita berusia 34 tahun mengaku bersalah di atas pertuduhan itu dan membayar denda dikenakan.

Fakta pertuduhan menyatakan Jessica didakwa mengikut Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 18(b) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara 3 tahun.

Contoh kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2014 sepanjang tahun ini.

  1. 7 Nov: Sebuah pasar raya di Sungai Petani, dikenakan denda RM15,000 menjual produk krim mandian Lux Shower Cream (Velvet Touch) bagi pek isian semula 600ml dengan kenaikan harga jualan daripada RM7.90 kepada RM9.40.
  2. 9 Nov: Di Limbang, 3 pemilik kedai runcit diberikan notis menjual minyak masak paket bersubsidi melebihi harga kawalan iaitu RM2.80 hingga RM3 berbanding RM2.50 yang ditetapkan.
  3. 9 Sept: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Secret Recipe Cakes and Cafe Sdn Bhd didenda RM45,000 kerana menaikkan harga minuman jenama Pepsi (di cawangan Subang Parade, Subang Jaya) daripada RM4 kepada RM5 bermula 23 Feb 2015, menaikkan harga minuman Iced Caffe Latte daripada RM7.80 kepada RM9 dan menaikkan harga Lasagna Beef daripada RM16.50 kepada RM19 di cawangan Kuala Kubu Bharu.
  4. 12 Jul: Enam pemborong ayam di Kelantan dikenakan tindakan oleh KPDNKK selepas didapati menjual 10 ekor ayam pada harga RM150 kepada peruncit atau peniaga. Mereka memborong dengan harga RM6.50 hingga RM7.50 bagi sekilogram ayam itu. Ini menyebabkan sesetengah peniaga menjual ayam tersebut kepada pengguna pada harga RM20 hingga RM30 seekor.
  5. 23 Mac: Seorang pemilik butik pakaian dikenakan denda sebanyak RM10,000 di Mahkamah Sesyen Kuantan selepas mengaku bersalah kerana gagal mengemukakan dokumen pakaian milik butiknya di Jalan Bukit Sekilau.

Jika anda juga berdepan masalah sama, kemukakan aduan kepada KPDNKK melalui [email protected], hubungi talian 09-4140512 atau terus ke pejabat KPDNKK berhampiran.

Penguatkuasaan dan pemantauan oleh pegawai KPDNKK dilakukan secara harian serta sepanjang masa.

Video dari Astro Awani

https://www.youtube.com/watch?v=DTSwDkhScTE

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.