Akshay Kumar jadi jahat, gerun dalam filem termahal India

Akshay Kumar jadi jahat, gerun dalam filem termahal India

Robot 2.0 merekodkan bajet pembikinan RM22.7 juta, sekali gus menjadi filem paling mahal dalam 3 bahasa – Tamil, Telugu dan Hindi di India.

robot
fmt-ohsem-inside-article1Bolehkah anda bayangkan nilai RM22.7 juta? Jika anda mampu, bayangkan juga sebuah filem, (bukan Hollywood) yang membabitkan kos pembikinan sebanyak itu.

Semalam majlis pelancaran poster pertama filem paling mahal di India, Robot 2.0 atau versi Tamilnya, Enthiran 2.0 dilancarkan di ibu negeri Bollywood, Mumbai. Ia merupakan sekuel kepada filem Robot/Enthiran (2010) lakonan pelakon termahal India, Rajinikanth dan bekas ratu cantik dunia, Aishwarya Rai.

Majlis pelancaran poster pertama Robot 2.0 yang ditayangkan secara langsung dalam saluran Youtube Lyca Production dan aplikasi telefon Lyca dihoskan pengarah Karan Johar dipercayai mendedahkan beberapa teka-teki berkenaan filem itu.

Poster pertama itu memaparkan imej Akshay Kumar membawa watak antagonis sebagai Dr Richard, saintis yang paranoid sehingga berubah menjadi manusia ganjil ekoran kesilapan dalam eksperimennya.

Berbulu dan berkuku gelap, watak Akshay digambarkan sebagai seorang yang bermata harimau dengan jalur hitam di dahi.

Poster itu turut mempamerkan amaran bertulis, “Dunia ini bukan hanya untuk manusia”.

Sementara itu, Rajinikanth, 62, memainkan watak sama seperti sekuel pertama, saintis bernama Dr Vaseegaran. Beliau pada majlis itu mengakui betapa sukar untuk bekerja memenuhi kesempurnaan pengarah filem tersebut, S Shankar.

“Dia kesempurnaan. Itulah sebabnya beliau menjadi pengarah paling hebat. Filem ini pengalaman yang berbeza dan Akshay hero sebenar,” kata Rajinikanth kepada Indian Express.

Shankar menganggap filem ini sebagai cabaran terbesar pernah dipikulnya.

“Filem ini seperti menjunjung gunung Everest di bahu sambil memanjat sebuah lagi Everest,” kata Shankar.

Pasangan Rajinikanth dalam filem ini, ratu cantik dari Britain, Amy Jackson pula akui tidak pernah menyangka untuk menjadi sebahagian daripada projek ini.

“Pada mulanya saya takut tetapi semua orang dalam set sangat mesra,” katanya.

Bintang Oscar India, A R Rahman meneruskan tanggungjawabnya sebagai komposer muzik dalam filem ini.

“Ia filem paling sukar pernah saya lakukan. Shankar tidak berpuas hati dengan hasil saya, jadi saya terpaksa terus cuba mencipta sesuatu yang unik untuk India dan dunia,” kata pengarah muzik tersohor itu.

Manakala penulis skrip, Jeyamohan pula berbangga dengan tugasnya.

“Biasanya kami buat filem, kali ini kami mencipta sejarah,” katanya.

Bajet pembikinan Robot 2.0/Enthiran 2.0 dilaporkan RM22.7 juta sekali gus menjadikan ia filem paling mahal dalam 3 bahasa – Tamil, Telugu dan Hindi.

Rajinikanth kali terakhir dilihat dalam filem blockbuster Kabali pada Julai lalu. Robot/Enthiran 2.0 dijangka ditayangkan pada Deepavali 2017.

Filem termahal dunia:

  • Pirates of the Caribbean – AS$378.5 juta (sekitar RM1.67 billion)
  • Tangled – AS$260 juta (sekitar RM1.148 billion)
  • Avatar – AS$246 juta (sekitar RM1.08 bilion)
  • Harry Potter and the Half-Blood Prince – AS$250 juta (sekitar RM1.104 bilion)

Di Malaysia, kos pembikinan sesebuah filem tidaklah setinggi mana, kebanyakan sekitar RM1.5 juta saja. Namun, ada filem yang menelan belanja besar sehingga kos pembikinannya saja menjadi sejarah dalam dunia hiburan Malaysia.

Di bawah, 3 filem yang setakat ini mencatat belanja pembikinan paling besar.

  • Vikingdom: RM20 juta
  • Puteri Gunung Ledang: RM16.6 juta
  • Hikayat Merong Mahawangsa: RM8 juta

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.