
Selepas 68 tahun, malam ini kita bakal menyaksikan kedudukan bulan yang paling dekat dengan bumi. Ekoran ini ketampakan bulan dijangka 14% lebih besar daripada biasa dan fenomena yang dikenali Supermoon atau nama saintifiknya, Lunar Perigee tidak sepatutnya dilepaskan khususnya kepada penggemar astronomi.FMT Ohsem menghubungi Penolong Pegawai Sains di Observatori Negara Langkawi, Agensi Angkasa Negara (Angkasa), di Langkawi, Karzaman Ahmad untuk mengetahui secara lanjut fenomena Supermoon yang pertama kali diperkenalkan ahli astronomi, Richard Nolle pada 1979.
“Pencerapan Supermoon akan bermula dari pukul 7 malam hingga sekitar 11 malam.
“Fenomena ini adalah keadaan di mana bulan kelihatan lebih besar daripada biasa ketika berada di ufuk. Untuk melihatnya pada kedudukan paling dekat, cerah dan cantik ialah ketika bulan terbit, iaitu selepas 7 malam,” katanya.
Jelas beliau lagi, ketampakan paling jelas dijangka berlaku pada pukul 7.24 malam. Kedudukan pada waktu itu paling dekat dengan bumi kerana posisi bumi serta bulan dan ia tidak bermakna bulan itu sendiri membesar.
“Mereka yang jarang atau tidak pernah melihat bulan, mungkin tidak akan sedar mengenainya. Ini kerana pengembangan saiz berlaku dalam peratusan yang signifikan dan bukannya terlalu ketara. Dalam pada itu, semakin tinggi bulan dari kedudukan terbit, maka ia akan semakin mengecil,” tambahnya lagi.
Sekitar pukul 10 malam, bulan katanya akan menjadi lebih kecil daripada biasa.
Menurut earthsky.org, bulan berputar dalam paksinya yang berbentuk bujur bukannya bulat, oleh itu wujud keadaan di mana bulan berada dekat dengan bumi, sekaligus mencetuskan fenomena Supermoon.
Jarak yang dekat dengan bumi ini dipanggil perigee dan jarak jauh daripada bumi pula dikenali sebagai apogee. Apabila bulan berada pada kedudukan perigee, ia lebih dekat dengan bumi dan kesannya bulan akan nampak lebih besar dan terang.
Ini membuktikan saiz bulan sebenar sama, cuma kesan ketampakan yang juga dikenali sebagai ilusi bulan menyebabkan ia kelihatan lebih besar ketika menghampiri ufuk.
Mengenai fenomena itu yang dikatakan hanya berlaku selepas berpuluh tahun, Karzaman bagaimanapun menafikan dakwaan itu.
“Sebenarnya ia berlaku kerap, tetapi apa yang akan terjadi pada malam ini ialah kedudukan paling dekat selepas 68 tahun. Supermoon akan berulang pada tahun-tahun mendatang, tetapi kalau untuk kedudukan paling dekat, lebih dekat dari malam ini, dijangka pada 2034,” ujarnya.
Tambahnya, fenomena seperti ini sememangnya akan memberi kesan kepada air pasang kerana secara umumnya bulan memainkan peranan penting dalam kejadian air pasang surut.
“Namun faktor-faktor lain seperti suhu air laut, fasa bulan dan sebagainya turut mempengaruhi tahap air pasang kelak. Apapun ia bukan bidang saya untuk komen,” jawabnya ringkas.