
Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) itu turut menafikan beliau tidak tegas dalam mempertahankan pilihan calon kerajaan untuk jawatan peguam negara, yang kini buntu ekoran apa yang didakwa keengganan pihak istana menerima calon bukan Melayu.
“Saya ada urusan. Saya kerja untuk meleraikan ketegangan,” katanya dalam wawancara khas bersama badan kaji selidik berkait PKR, Invoke Malaysia.
Sebelum ini, beberapa komen di media sosial termasuk oleh bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin mempersoalkan gerak geri Anwar, termasuk dalam mengadakan pertemuan dengan beberapa raja Melayu termasuk Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Anwar berkata beliau hanya memenuhi arahan pihak istana untuk menghadap raja.
“Saya tidak anggap itu masalah,” katanya.
Menurutnya, kritikan dan rasa kurang senang terhadapnya adalah penerusan “budaya bisik-bisik jahat” yang “bahaya”.
“Pertemuan itu sebagai anak Melayu dan rakyat Malaysia yang mengamalkan prinsip demokrasi berparlimen,” katanya.
Menurutnya, adalah penting untuk memastikan hubungan dengan pihak istana dikekalkan ketika Malaysia pertama kali berubah kerajaan.
“Setelah 60 tahun, ini kali pertama raja-raja berdepan dengan kerajaan berbeza,” kata Anwar.
Menurutnya, kemenangan Pakatan Harapan itu lebih signifikan kerana dicapai di sebalik pelbagai propaganda dan dakwaan kononnya gabungan itu akan menghapuskan kedaulatan raja Melayu.
Anwar berkata beliau tidak merahsiakan apa-apa daripada Dr Mahathir mengenai pertemuannya dengan sultan
“Semua saya lapor kepada Tun Mahathir. Dia harus tahu saya menghadap Agong,” katanya.
“Sebelum ke Johor, saya maklumkan kepada Tun Mahathir. Sebelum menghadap Sultan Nazrin (Perak), juga saya maklum Tun Mahathir. Yang lain sibuk apasal?” soal beliau.
Anwar berkata beliau baru sahaja dibebaskan selepas dipenjarakan, dan menggesa serangan terhadapnya dihentikan.
“Bagi ruang saya untuk bergerak, sebagai seorang rakyat membantu perdana menteri.”