
Bagi Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar, sekiranya dicalonkan dan menang di kerusi ini, beliau mahu menghadiahkan kemenangan itu kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.
“Ini adalah satu-satunya Parlimen yang ambil sempena nama perdana menteri. Kita berazam dan mahu hadiahkan kerusi ini kepada Najib, bersempena dengan nama ayahanda beliau,” katanya merujuk perdana menteri kedua Malaysia, Tun Abdul Razak Hussein.
Kerusi ini dimenangi bekas menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika bersama PKR pada 2008, tetapi Khalid yang dipecat PKR, dilaporkan tidak lagi berminat bertanding pada pilihan raya umum ke-14.
Bagi Rizalman, Bandar Tun Razak tidak lagi sukar untuk ditembusi Umno.
“Kerusi Parlimen ini suatu ketika dahulu dikategorikan sebagai amat sukar untuk menang, kali ini mempunyai peluang yang cukup baik untuk menang,” katanya dalam wawancara bersama FMT.
Wawancara itu diadakan beberapa jam sebelum sumber mengesahkan kepada FMT yang Ketua Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil hampir pasti dipilih mewakili BN di kerusi tersebut.
Rizalman yang baru-baru ini terlibat dalam kontroversi ujian dadah positif, berkata peluang yang lebih baik untuk Umno itu hasil daripada usahanya lebih sedekad.
“Bukan cerita hasil 4 tahun setengah, sebaliknya saya sudah buat 14 tahun, jenama BN, Umno diterima baik,” katanya.
Secara tradisi, Bandar Tun Razak ditandingi MCA, tetapi bilangan pengundi Melayu yang ramai menyebabkan gesaan supaya Umno beraksi di situ.
“Apabila diterima baik, semua orang mula mempunyai keyakinan iaitu kalau bertanding di Bandar Tun Razak, akan menang. Tetapi laluan itu saya yang buat,” kata Rizalman dalam wawancara bersama FMT.
Rizalman berkata jadual kerjanya tidak pernah berubah dan semakin padat menjelang demam pilihan raya semakin rancak.
“Ada orang yang baru sibuk sejak sekarang tetapi saya tidak ada perubahan jadual, malah lebih sibuk, ini kerana sudah tahu tarikh pilihan raya, penamaan calon,” katanya.
Rizalman berkata beliau sedia menggalas tanggungjawab sekiranya dicalonkan, tetapi akan akur dengan keputusan parti.
“Kalau saya dicalonkan, Alhamdulillah, kerana kepercayaan pucuk pimpinan parti dan satu tugas berat bila diberi kepercayaan untuk buktikan mampu tambah kerusi kepada BN.
“Jika tidak tercalon, saya sebagai ketua Umno bahagian, saya akan berikan sokongan kepada sesiapa juga yang akan bertanding dan dicalonkan,” katanya.
Sumber memberitahu FMT hari ini Shahrizat, yang tewas pada 2008 di Lembah Pantai, bakal dicalonkan di Bandar Tun Razak.
Rizalman baru-baru ini mencetuskan kontroversi susulan serbuan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis di sebuah kelab hiburan di Kuala Lumpur.
Susulan itu, SPRM mmemaklumkan beliau gagal dalam ujian dadah. Ia disusuli dengan penafian keras Rizalman, sambil berkata wujud usaha mensabotaj beliau oleh pihak tertentu.
Polis kemudiannya mengumumkan Rizalman bebas daripada dadah.
Rizalman berjanji walaupun calon selain beliau dipilih bertanding di Bandar Tun Razak, beliau tidak akan berpaling daripada menyokong parti.
“Sejarah saya, tidak pernah sekali berundur. Tidak pernah sabotaj parti.
“Sejarah saya sejak 1995, setiap kali pilihan raya umum, saya berada di tempat hadapan, akan terus bawa calon BN.
“Tidak ada istilah merajuk, jika tidak percaya, jika ada sesiapa menjadi calon, saya akan duduk di sebelah calon dan saya akan iring calon ke mana-mana,” katanya.
Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14