SPRM sahkan ketua Umno bahagian ditahan positif syabu

SPRM sahkan ketua Umno bahagian ditahan positif syabu

Azam Baki mengesahkan ketua bahagian Umno yang bergelar 'Datuk' itu ditahan di sebuah pusat karaoke kerana positif dadah jenis methamphetamine.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan seorang ketua Umno bahagian ditahan di Kuala Lumpur, semalam selepas didapati positif dadah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, berkata ketua bahagian Umno bergelar “Datuk” itu ditahan dalam satu operasi polis bersama SPRM di sebuah pusat karaoke di Jalan Imbi, kira-kira 2 pagi Isnin.

Beliau bagaimanapun enggan menamakan pemimpin Umno itu, tetapi mengesahkan individu itu positif dadah jenis methamphetamine (syabu).

“Ada seorang ahli politik yang berpangkat Datuk, saya tak nak sebut nama, yang merupakan ketua bahagian Umno di Kuala Lumpur, ditangkap dalam satu operasi bersama SPRM dan polis baru-baru ini (semalam).

“Dalam tangkapan itu, saya difahamkan saringan ujian air kencingnya menunjukkan positif dadah,” katanya kepada FMT ketika ditanya mengenai laporan media berhubung penahanan ketua Umno bahagian itu.

Azam berkata, pihaknya menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut.

Katanya, difahamkan ketua Umno bahagian itu disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Isnin pagi biasa kita buat operasi bersama polis dan tangkapan itu ada orang lain juga, lebih kurang 8 orang (ditahan), salah seorang ketua bahagian Umno itu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.