Saksi terakhir RCI diwakili anak, tiada keterangan

Saksi terakhir RCI diwakili anak, tiada keterangan

Ishak Tadin merupakan ketua audit negara ketika Bank Negara mengalami kerugian urus niaga pertukaran wang asing tersebut.

Tan Sri Ishak Tadin tiba di RCI urus niaga mata wang BNM. Beliau bagaimanapun diwakili anaknya.
Tan Sri Ishak Tadin tiba di RCI urus niaga mata wang BNM. Beliau bagaimanapun diwakili anaknya.
PUTRAJAYA:
Bekas ketua audit negara, Tan Sri Ishak Tadin yang menjadi saksi terakhir Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian urus niaga mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) pada awal 1990-an hari ini diwakili anaknya, Rizal Ishak, disebabkan masalah kesihatan.

Nama Ishak yang juga saksi ke-25 siasatan RCI, sebelum ini pernah disebut seorang saksi, P. Kanason Pothinker.

Berucap di hadapan panel RCI, Rizal memaklumkan bapanya tidak berupaya untuk membuat keterangan kerana masalah kesihatan.

Beliau berkata bapanya menghadapi masalah mengingati semula apa yang berlaku 3 dekad lalu.

“Semua aktiviti semasa kerja tidak dapat diingat. Itu yang saya cadangkan kepada panel untuk tindakan lanjut,” kata Rizal ketika dipanggil pegawai pengendali RCI, Datuk Suhaimi Ibrahim.

Sebelum ini, Kanason memberitahu panel RCI bahawa wujud “pihak atasan” mengarahkannnya tidak campur tangan dalam sebarang urusniaga tersebut.

Katanya, arahan itu dimaklum seorang wakil Pejabat Peguam Negara, Tan Sri Ainum Mohamed Saaid.

Ainum pada 6 September memaklumkan RCI beliau tidak ingat berkenaan arahan tidak campur tangan berkenaan.

Kanason bersara pada 1992, dan pada 1993, beliau dimaklumkan Ishak bahawa BNM mengalami kerugian wang yang besar akibat dalam urusniaga perdagangan mata wang asing.

Kanason berkata Ishak tidak memberitahu jumlah sebenar “kerana saya bukan pegawai atasannya”.

Semalam Dr Mahathir yang juga saksi ke-24 memberitahu RCI yang urus niaga mata wang dijalankan BNM tanpa pengetahuannya.

Beliau berkata, gabenor BNM ketika itu, Tan Sri Jaffar Hussein membuat keputusan itu bagi mengimbangi mata wang ringgit tidak stabil, mengukuhkan rizab luar dan ekonomi negara.

Seramai 24 saksi memberi keterangan pada prosiding RCI itu, termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan ketika kerugian forex BNM berlaku.

RCI ditugaskan menyiasat kerugian forex sebanyak AS$10 bilion (kira-kira RM25 bilion berdasarkan kadar tukaran mata wang pada masa itu) disebabkan oleh BNM antara 1991 dan 1993.

Dakwaan skandal itu berlaku semasa Dr Mahathir berkhidmat sebagai perdana menteri, ketika Daim dan Anwar memegang jawatan menteri kewangan (1991-1998).

RCI berkenaan dipengerusikan Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Selain Sidek, individu yang menganggotai RCI ialah Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamaludin Md Said, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Seri Tajuddin Atan, dan Pengerusi Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan, Tan Sri Saw Choo Boon.

Turut terlibat ialah K Pushpanathan dari Institut Akauntan Malaysia, dan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan, Datuk Yusof Ismail, yang juga setiausaha suruhanjaya siasatan.

Saya tak tahu BNM jalankan urus niaga forex, kata Dr M

RCI: Orang atasan cakap jangan campur tangan, kata bekas pegawai audit

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.