Salleh: Dr M perlu realistik cadang tubuh sebuah lagi Proton

Salleh: Dr M perlu realistik cadang tubuh sebuah lagi Proton

Menteri komunikasi dan multimedia menasihatkan Dr Mahathir Mohamad tidak berpaut kepada sejarah silam, sebaliknya beliau perlu memandang ke depan bagi menghadapi saingan sengit dalam industri automotif ketika ini.

sallehkeruak-mahathir
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Salleh Said Keruak hari ini menasihatkan Tun Dr Mahathir Mohamad berpijak di bumi nyata dengan cadangannya menubuhkan sebuah lagi syarikat pengeluar kereta nasional.

“Apabila Proton itu tujuannya dulu ialah untuk kita mewujudkan sebuah kereta nasional…tetapi ia mengalami pelbagai peristiwa dan menghadapi kerugian.

“Kita menyokong industri kereta begitu agresif sekali sehingga sekarang. Apabila ada pelabur yang berminat mengadakan usaha sama dan ia tidak akan menghilangkan identiti kita, tidak ada sebab kita tidak menyokong,” kata menteri komunikasi dan multimedia.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Sektor Logistik, Pos dan Perkhidmatan Teknologi Maklumat serta Komunikasi Union Network International Asia Pacific Regional Organisation (UNI-APRO) ke-5 di ibu negara hari ini.

Semalam, Dr Mahathir dilaporkan berkata, beliau berminat menubuhkan sebuah lagi syarikat kereta nasional sekiranya tidak dapat mengembalikan Proton seperti mana diasaskannya.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, syarikat automotif baru itu akan membantu perniagaan terjejas, sejak Proton dijual kepada syarikat kereta China, Zhejiang Geely Holding Group (Geely).

Mengulas lanjut, Salleh yang juga bendahari agung Umno berkata, Dr Mahathir tidak harus berpaut kepada sejarah silam, sebaliknya bekas perdana menteri itu perlu memandang ke depan.

Beliau berkata, kerjasama strategik antara Proton dan Geely bertujuan meningkatkan kemampuan syarikat pengeluar kereta nasional itu bagi menghadapi saingan sengit dalam industri automotif.

“Kita kena lebih realistik lagi dalam soal industri kereta ini. Persaingannya begitu hebat sekali.

“Pada saya, apa yang berlakunya sekarang ini dengan adanya kerjasama antara Proton dan syarikat luar negara, ia akan menjamin Proton bersaing menghadapi cabaran-cabaran mendatang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Salleh berkata, beliau akan meneliti saranan Muhammad Khalil Abdul Hadi supaya bapanya yang juga presiden PAS diberi peluang menjelaskan isu “Amanat Hadi” secara langsung di mana-mana stesen televisyen.

“Saya belum mendapat sebarang cadangan berkenaan, jika ada cadangan tersebut kita akan bawa secara teliti,” katanya.

Semalam, ketua Pemuda PAS itu dipetik Sinar Harian berkata, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sedia menjelaskan “Amanat Hadi” yang baru-baru ini dikaitkan dengan peristiwa berdarah Memali pada 1985, jika permintaan untuk muncul di televisyen direalisasikan.

“Amanat Hadi” merujuk ucapan Hadi pada 7 April 1981 ketika beliau menjadi pesuruhjaya PAS Terengganu. Petikan ucapan itu kerap dibidas Umno kerana didakwa mengkafirkan ahli parti komponen terbesar BN itu.

Selasa lalu, bekas ketua polis negara, Tan Sri Rahim Noor mendakwa “Amanat Hadi” memberi inspirasi kepada ahli PAS di seluruh negara, termasuk guru agama di Kampung Memali, Ibrahim Mahmud yang menubuhkan sebuah kumpulan militan dengan matlamat melangkaui perjuangan politik.

Dr Mahathir rancang tubuh sebuah lagi Proton

Anak Hadi gesa ayahnya diberi peluang perjelas ‘Amanat Hadi’ di TV

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.