Selva ‘benar-benar sudah insaf’, keluarga mahu bersihkan nama

Selva ‘benar-benar sudah insaf’, keluarga mahu bersihkan nama

Sumber rapat dengan keluarga menceritakan bagaimana Selva menjadi pujaan wanita pada usia mudanya sebelum berhijrah ke Kanada.

Selva-Kumar_6001212
SEPANG:
Lebih 3 dekad yang lalu, Selva Kumar Subbiah merupakan seorang jejaka yang diminati ramai wanita, sehingga ibu bapanya sendiri pun tidak dapat mengawalnya, menurut seorang sumber yang rapat dengan keluarga bekas banduan itu.

“Dulu semasa di Malaysia, Selva Kumar diminati ramai wanita kerana rupa paras beliau yang agak tampan,” katanya kepada FMT.

“Oleh kerana keluarga beliau tidak mampu mengawal Selva yang nakal, mereka membuat keputusan menghantar anaknya belajar ke luar negara.”

Selva, kini 56, tiba di Malaysia pagi tadi, seminggu selepas selesai menjalani hukuman penjara 24 tahun di sebuah penjara di Toronto, Canada.

Pada 1992, mahkamah Kanada menjatuhkan hukuman 24 tahun ke atas Selva selepas didapati bersalah atas 19 tuduhan serangan seksual, 28 pertuduhan penggunaan bahan larangan seperti dadah, dan 10 pertuduhan pelbagai serangan dan kesalahan lain.

Seorang bekas polis Kanada yang ditugas menyiasat Selva lebih 30 tahun lalu baru-baru ini menceritakan beliau percaya lelaki itu turut terlibat dalam kes pencabulan lain melibatkan lebih 1,000 wanita.

Sumber keluarga Selva bagaimanapun mempersoalkan laporan media dalam dan luar negara yang cuba menggambarkan Selva seorang yang belum insaf atas jenayah lampaunya.

“Berdasarkan maklumat keluarga, dia benar-benar sudah insaf dan tidak akan mengulangi perbuatannya,” katanya kepada FMT.

Ia juga mempertikaikan dakwaan Selva mungkin memangsakan lebih 1,000 wanita di Kanada, menyifatkan tuduhan itu “tidak logik”.

Menurutnya, keluarganya berharap nama Selva dapat dibersihkan selepas ini.

“Saya juga berharap begitu, sebab dia sudah betul-betul insaf dan apa yang orang perkatakan sebelum ini hanya persepsi buruk,” katanya.

Selva dipercayai berasal daripada keluarga yang berada, manakala arwah ayahnya pernah berkhidmat sebagai pegawai kanan kerajaan. Ibunya yang kini tua menetap di Sungai Buloh, Selangor.

Mengulas lanjut, sumber itu memberitahu, semasa di Kanada, Selva berkahwin dengan wanita tempatan di situ, dan selepas dipenjarakan, keluarganya di Malaysia banyak berhubung dengan wanita itu.

Pasangan itu bagaimanapun sudah bercerai.

Sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris baru-baru ini melaporkan Selva adalah bekas murid Penang Free School di Pulau Pinang.

Selva Kumar pulang disambut ahli keluarga

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.