Mahfuz: Tok Kepak Lana Bulu, Faiz Subri nombor satu

Mahfuz: Tok Kepak Lana Bulu, Faiz Subri nombor satu

Pemimpin PAS itu tampil teruja, mengungkap pantun 2 kerat, sambil yakin 'Ronggeng Malaysia' bakal menenggelamkan 'Samba Brazil'.

Mahfuz
PETALING JAYA: Ramai tidak pernah mendengar nama Kampung Tok Kepak di Kedah, tetapi bagi ahli Parlimen PAS Datuk Mahfuz Omar, kampung itu kini masyhur di seluruh dunia selepas anak jatinya Mohd Faiz Subri dipilih pemenang anugerah Puskas oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) semalam.

“Kemenangan ‘Tendangan Pisang’ Faiz Subri itu … bukan sahaja mengharumkam nama negara Malaysia tetapi juga telah mengangkat nama Kampung Tok Kepak, Lana Bulu di Jerlun ke peringkat dunia dalam sukan bolasepak,” kata Mahfuz, merujuk kepada panggilan “banana kick”, tendangan melencong bintang bola sepak Brazil, Roberto Carlos pada 1997.

Mahfuz turut menggesa agar Faiz diberikan darjah kebesaran sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah pada 15 Januari ini.

Tulis pemimpin PAS itu: “Tendangan pisang dari Tok Kepak, Lana Bulu menerjah Zurich.”

Fifa dalam majlis gilang gemilang yang diadakan di bandar raya terbesar Switzerland itu semalam mengumumkan Faiz pemenang anugerah yang mengiktiraf tendangan istimewa dalam sukan bola sepak dunia.

Beliau merupakan pemain Asia pertama memenangi anugerah itu.

Mahfuz berkata beliau mengikuti siaran langsung majlis Fifa itu bersama keluarga Faiz melalui skrin besar di Kampung Tok Kepak.

“Saya harap akan lahir lagi anak-anak dari kampung pendalaman di seluruh negara yang akan mengharumkan nama dalam dunia sukan bola sepak,” katanya.

Mahfuz yakin perancangan rapi membangunkan bintang bola sepak akan berhasil sehingga ia mampu melawan “Samba Brazil, mungkin dengan rentak jenama ‘Ronggeng Malaysia’,” tambahnya.

“Faiz Subri telah gunakan Tok Kepak untuk terbangkan Lana Bulu ke Zurich.”

Mahfuz juga sempat berpantun 2 kerat:

“Tok Kepak Lana Bulu; Faiz Subri Nombor Satu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.