HSR: 3 daripada 10 penduduk rela jual tanah kepada pelabur asing

HSR: 3 daripada 10 penduduk rela jual tanah kepada pelabur asing

Lapan daripada 10 penduduk di Labu, Ayer Keroh dan Muar tidak tahu mengenai pelaksanaan projek HSR yang akan melalui kawasan kediaman mereka.

HSR-1

MUAR:
“Bila tanah ini boleh dijual?” Itulah soalan dilontarkan penduduk luar bandar di sini, yang mahu menjual tanah kepada pelabur asing.

Soalan berkenaan dikemukakan kepada wartawan ketika melakukan tinjauan berhubung kesanggupan penduduk kampung melepaskan aset di sekitar Labu, Ayer Keroh dan Muar.

Tinjauan mendapati, tiga daripada 10 penduduk luar bandar di kawasan terbabit yang majoritinya Melayu, rela menjual tanah kepada pelabur dari Singapura dan China, demi mendapatkan keuntungan segera.

Penduduk luar bandar yang sanggup menjual tanah itu adalah berumur 50 tahun ke bawah dan memberitahu, tekanan ekonomi serta kos sara hidup yang mahal sebagai alasan penjualan tanah kepada pelabur negara asing.

Bagi penduduk yang enggan menjual tanah, ada antaranya berumur 50 tahun ke bawah, namun semua penduduk berumur 60 tahun ke atas menegaskan, tidak akan menjual tanah atas sebab memikirkan generasi keluarga akan datang yang memerlukan tanah dan tempat tinggal.

Selain itu, sikap mahu mempertahankan pegangan tanah daripada terlepas ke tangan rakyat negara asing turut menjadi faktor tujuh daripada 10 penduduk di Labu, Ayer Keroh dan Muar tidak mahu menjual tanah mereka.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kesedaran berhubung pelaksanaan projek landasan Keretapi Laju (HSR) antara Kuala Lumpur dan Singapura yang akan melalui sekitar Labu, Ayer Keroh dan Muar, seramai lapan daripada 10 penduduk kawasan terbabit memberitahu bahawa mereka tidak tahu menahu akan perkara berkenaan.

Difahamkan, nilai tanah sekitar Labu, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat dan Nusajaya diramalkan meningkat lebih 100% daripada harga semasa apabila projek HSR antara Kuala Lumpur dan Singapura dilaksanakan kelak.

Namun, majoriti penduduk memaklumkan FMT bahawa maklumat pelaksanaan HSR yang bakal melalui kawasan tempat tinggal mereka tidak pernah disampaikan oleh pihak berkuasa atau wakil rakyat tempat masing-masing.

Ia sekali gus menyebabkan penduduk di tiga kawasan itu terdedah kepada risiko penjualan tanah kepada broker dan pelabur pada harga yang lebih rendah daripada potensi harga sebenar.

Awal minggu ini, Presiden Institut Ejen-ejen Hartanah Malaysia (MIEA), Erick Kho yang dilaporkan oleh Nanyang Siang Pau memberitahu, pelabur dari Singapura dan China mengintai tanah sepanjang jajaran HSR untuk dijadikan modal menjana keuntungan.

Projek kendalian MyHSR Corp Sdn Bhd yang dianggarkan memakan belanja lebih RM65 bilion itu, bakal menghubungkan Singapura dengan Kuala Lumpur melalui hentian di Seremban, Melaka, Muar, Batu Pahat dan Nusajaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.