
Pengerusi MARA itu mendakwa, ada sesetengah pemberita sudah berniat untuk memburukkan agensi kerajaan yang membantu Melayu dan Bumiputera.
“Okay, yang press (pemberita) yang tunggu tangkap berita yang mana, kalau press yang datang hendak kutip berita, tengah fikir yang mana hendak spin.
“Ada juga yang datang, turun rumah nawaitu (niat) nak balun MARA dah. Tidak baik macam tu,” katanya sewaktu berucap di hadapan kira-kira 200 mahasiswa pada majlis penyerahan surat penajaan UniKL City Campus di Jalan Sultan Ismail, hari ini.
Annuar berkata, pengamal media yang sering mengkritik MARA dinasihatkan supaya tidak lagi berbuat demikian kerana tindakan itu menyebabkan ahli politik seolah-olah bersikap seperti ‘paria.’
“Kasihanlah kami-kami ni, kadang-kadang orang politik ni macam dah jadi seperti paria dah,” katanya.
Ahli Parlimen Ketereh itu berkata demikian sebagai mengulas sebuah laporan media yang mendakwa MARA bertindak zalim hingga menghentikan tajaan kepada seorang pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
“Ada orang tarik seorang pelajar tahun satu UniKL, ajak minum kemudian dia record. Kerana seorang dia record, terlupa bahawa UniKL satu-satunya universiti di dunia yang memberi 80 peratus tajaan MARA.
“Tetapi sebab satu orang diviralkan, tertutup yang 75,000 lagi. Kita kena terimalah, kalau kita Kerajaan Persekutuan memang akan kena kritik kerana kerja pengkritik mudah,” katanya.