PRN Johor tak jejas kerajaan perpaduan, kata naib presiden Umno

PRN Johor tak jejas kerajaan perpaduan, kata naib presiden Umno

Khaled Nordin berkata senario politik negara kini berbeza apabila kerjasama antara pelbagai parti dapat dilihat di peringkat persekutuan dan negeri.

Mohamed Khaled Nordin
Naib Presiden Umno Khaled Nordin berkata dalam politik baharu kini, tidak ada lagi mana-mana parti politik yang mendominasi.
PETALING JAYA:
PRN Johor akan datang tidak akan menjejaskan kedudukan kerajaan perpaduan biarpun landskap politik negeri itu mungkin berubah selepas pilihan raya, kata Naib Presiden Umno Khaled Nordin.

Beliau berkata senario politik negara kini berbeza apabila kerjasama antara pelbagai parti dapat dilihat di peringkat persekutuan dan negeri.

“Kerajaan Perpaduan masih ada. Hanya kita kena terima hakikat bahawa keadaan sekarang tidak sama seperti dahulu.

“Dalam politik baharu sekarang, tidak mungkin ada mana-mana parti yang akan mendominasi. Mungkin di Pusat kerajaannya begini, manakala di negeri kerajaannya berbeza,” katanya pada sidang media di Kota Tinggi, menurut Berita Harian.

Mengulas lanjut, Khaled berkata rakyat perlu menerima hakikat perubahan landskap politik dan susunan kerajaan yang berbeza antara negeri serta Persekutuan.

Katanya, ia dapat dilihat di beberapa negeri apabila komposisi kerajaan negeri tidak semestinya sama dengan kerajaan di peringkat Persekutuan.

“Di Pusat, ada parti yang menjadi sebahagian daripada kerajaan, tetapi di negeri mereka berada di pihak pembangkang. Di Johor pula kerajaan negeri diterajui sepenuhnya oleh Barisan Nasional (BN).

“Jadi pokoknya ialah bagaimana kita membangunkan satu sikap supaya rakyat boleh menerima bahawa politik negara pada masa akan datang memang akan bergerak dalam keadaan seperti ini,” katanya.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan berkuat kuasa semalam bagi memberi laluan kepada PRN ke-16.

Susulan pembubaran itu, PRN akan perlu diadakan dalam tempoh 60 hari akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.