Pemimpin PAS tolak cadangan Muhyiddin parti IPR tanding guna logo PN

Pemimpin PAS tolak cadangan Muhyiddin parti IPR tanding guna logo PN

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata hanya anggota sah boleh tanding guna logo PN.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man tegaskan PN tidak pernah beri kelulusan kepada mana-mana parti bukan anggota guna logo PN untuk bertanding pada pilihan raya.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin kanan PAS menegaskan hanya anggota sah Perikatan Nasional (PN) dibenarkan bertanding menggunakan logo itu.

Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man berkata tiada keputusan memperluaskannya kepada parti bawah Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) seperti dicadangkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin untuk PRN Melaka.

“Isu ni tak pernah dibincang dalam mesyuarat rasmi dan kita hanya benarkan anggota bertanding dengan logo PN.

“IPR ini bukan anggota PN, jadi macam mana kita nak benarkan? (Mereka) pun tak pernah mohon untuk jadi ahli komponen PN,” katanya kepada FMT.

Semalam, Muhyiddin yang juga ketua gabungan longgar IPR dipetik berkata parti-parti politik di bawahnya boleh bertanding pada PRN Melaka akan datang menggunakan lambang PN.

Menurutnya, parti itu boleh berunding dengan sebuah ‘jawatankuasa peringkat PN’ mengenai kerusi yang ingin ditandingi.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menafikan kewujudan sebarang jawatankuasa khas seperti digambarkan Muhyiddin.

Bendahari Agung PAS Iskandar Samad pula berkata Muhyiddin tidak lagi mempunyai kuasa membuat keputusan berkaitan perkara-perkara seperti penggunaan logo gabungan, memandangkan beliau bukan lagi pengerusi PN.

Muhyiddin digantikan dengan Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar.

Iskandar menyifatkan IPR sebagai platform ad hoc yang diwujudkan untuk membincangkan isu-isu tertentu sahaja, malah tidak perlu wujud kerana sudah ada gabungan pembangkang PN.

“Jika Muhyiddin mencadangkan parti-parti di bawah IPR bertanding menggunakan logo PN, lebih baik diberi ruang kepada pasukan Reset (yang diketuai) Hamzah Zainudin untuk bertanding menggunakan logo PN.

“Pasukan itu dilihat mempunyai lebih banyak sokongan,” katanya.

Dalam pada itu, Adun Bemban Dr Yadzil Yaakub, yang dipecat dari Bersatu pada Februari lepas, turut menegur Muhyiddin agar berhenti membuat pengumuman bagi pihak gabungan itu.

Membidas Muhyiddin kerana mengalu-alukan parti-parti IPR untuk bertanding di bawah PN, Yadzil mendakwa Ahli Parlimen Pagoh itu sebelum ini menghalang empat parti berasaskan Melayu daripada menyertai gabungan itu.

“Tapi tengoklah sekarang, tiba-tiba IPR yang entah apa-apa halanya itu, dengan mudah pula diberi ‘lampu hijau’ untuk tumpang lambang PN,” katanya dalam kenyataan.

Dipimpin oleh Muhyiddin, IPR menghimpunkan 11 parti pembangkang termasuk PAS, Bersatu, Gerakan, Muda, Berjasa, Pejuang dan Putra.

Parti lain dalam gabungan itu ialah Parti Kemajuan Malaysia (MAP), Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) dan Urimai.

Bagaimanapun, ketiadaan wakil PAS dalam beberapa mesyuarat IPR kebelakangan ini menimbulkan persoalan mengenai sama ada parti itu masih terus terlibat dalam gabungan terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.