
Baginda bertitah, bulan yang penuh keberkatan itu bukan sahaja menuntut umat Islam memperbanyak doa, zikir dan ibadah, tetapi juga menghayati semangat pengorbanan demi agama, bangsa dan negara.
“Sempena bulan yang mulia ini, terutama pada hari-hari tasyrik, kita seharusnya memperbanyakkan amal kebajikan dan meninggalkan segala bentuk hiburan melampau, pesta, acara yang melalaikan serta perkara-perkara yang boleh mencemarkan kemuliaannya,” titah baginda kepada media Kesultanan Pahang.
Terdahulu, baginda berkenan menunaikan solat Jumaat di Masjid Tunku Azizah Iskandar, Kampung Baru di sini dan mendengar khutbah bertajuk ‘Amanah Nyawa Tanggungjawab Iman’.
Ia menyentuh kepentingan menjaga keselamatan dan nyawa sebagai amanah Allah, selain menyeru umat Islam mematuhi peraturan, mengutamakan integriti serta memupuk sikap bertanggungjawab demi kesejahteraan masyarakat.

Tengku Hassanal turut menekankan keperluan umat Islam, khususnya orang Melayu, meredakan sengketa dan perselisihan faham, selaras seruan dizahirkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam perutusan Aidiladha baru-baru ini.
Baginda bertitah, semangat pengorbanan dalam Zulhijah perlu diterjemahkan melalui kesediaan memelihara persaudaraan dan mengelak perpecahan.
“Dalam masa yang sama, perpaduan dan keharmonian antara kaum di negara ini juga perlu terus dipelihara kerana kekuatan sesebuah negara terletak pada sikap saling menghormati, memahami dan hidup bersatu padu antara semua bangsa serta lapisan masyarakat,” titah baginda.
Tengku Hassanal berkata, kesatuan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama mesti terus diperkasa demi kestabilan, kemakmuran dan masa depan negara.
Baginda turut mendoakan rakyat Pahang sentiasa dikurniakan keselamatan, kesejahteraan dan keberkatan di dunia serta akhirat sambil menyampaikan pantun berbunyi:
“Layar terkembang di Mersing pagi,
Tioman kelihatan di balik kabus,
Bukan mudah persaudaraan dibagi,
Satu akar, satu abus.”