
Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, titah baginda sewajarnya disambut baik kerana mencerminkan kecaknaan institusi diraja terhadap aspek pemuliharaan alam sekitar termasuk ekosistem, flora dan fauna di wilayah Kesultanan Pahang.
Beliau berkata, dakwaan pihak tertentu bahawa titah tersebut tidak berperlembagaan adalah biadab, serta menunjukkan kecuaian dalam memahami kedudukan Tengku Mahkota Pahang serta konteks sebenar latihan tentera yang dimaksudkan.
“Sebagai Tengku Mahkota Pahang, baginda boleh ditugaskan oleh raja pemerintah untuk mengambil tanggungjawab tertentu dan perkara itu dibenarkan di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang.
“Dalam konteks titah Tuanku, baginda menzahirkan tadbir urus yang perlu dipatuhi dalam aktiviti latihan ketenteraan yang ingin dilaksanakan di wilayah Kesultanan Pahang,” katanya, lapor Utusan Malaysia.
Beliau berkata, pihak yang cuba menyinggung titah tersebut perlu membezakan antara tindakan ketenteraan di bawah bidang kuasa keselamatan dan pertahanan persekutuan dengan kegiatan latihan tentera.
Katanya, walaupun soal keselamatan, pertahanan dan ketenteraan berada di bawah bidang kuasa persekutuan sebagaimana diperuntukkan dalam Senarai I Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, perkara itu tidak bermaksud hak negeri diketepikan.
“Semua pihak perlu ingat bahawa kuasa itu amanah yang diberikan oleh raja pemerintah negeri bagi maksud menjamin kemaslahatan negeri, bukannya mengambil hak negeri,” katanya menambah, wilayah kedaulatan negeri selaras dengan sifat federalisme Malaysia perlu difahami.
Beliau berkata, tindakan ketenteraan dalam keadaan darurat atau ancaman luar yang memerlukan respons segera tidak akan dipertikaikan.
Bagaimanapun, katanya, keadaan tersebut berbeza dengan isu dibangkitkan Tengku Mahkota Pahang kerana baginda merujuk kegiatan latihan tentera, bukannya tindak balas terhadap ancaman tiba-tiba.
“Titah Tengku Mahkota Pahang untuk menetapkan tadbir urus dalam aktiviti latihan adalah wajar dan tidak sepatutnya dipertikaikan.
“Apatah lagi jika ada pihak tertentu cuba mewujudkan keadaan seolah-olah berlaku pertembungan pandangan terhadap titah baginda,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut memberi analogi tindakan polis dalam situasi tertentu, bagi menjelaskan perbezaan antara tindakan penguatkuasaan sebenar dengan kegiatan latihan.
“Misalnya, tindakan polis yang terpaksa menceroboh masuk rumah persendirian atas ‘reasonable suspicion’ daripada ‘credible information’ mengenai kegiatan jenayah di dalamnya adalah wajar dan berperlembagaan.
“Sebaliknya, jika polis menceroboh masuk dan memecahkan pintu rumah persendirian semata-mata untuk tujuan latihan, pastinya tindakan itu salah dan tidak berperlembagaan,” katanya.
Beliau menambah, terdapat kaedah yang ‘lebih harmoni’ untuk melaksanakan latihan, dan titah Tengku Mahkota Pahang menunjukkan kebijaksanaan dalam pengurusan antara persekutuan dan negeri.